SHAH ALAM, 17 NOV: Pengguna di Selangor bakal menikmati pengalaman semakan status halal yang lebih cepat, mudah dan mesra pengguna apabila Kerajaan Negeri bakal memperkenalkan sistem digital baharu berasaskan kecerdasan buatan (AI) mulai tahun depan.
EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Fahmi Ngah berkata sistem itu dibangunkan menggunakan pangkalan data ramuan serta produk bersijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), sekali gus membolehkan orang ramai membuat semakan segera tanpa memerlukan aplikasi tambahan.
"Pembangunan sistem ini berasaskan pangkalan data ramuan dan produk bersijil halal Jakim yang telah dihimpunkan sebelum ini, sekali gus membolehkan pengguna mendapatkan pengesahan halal tanpa perlu memuat turun aplikasi tambahan.
“Kita sedang membangunkan satu kaedah baharu yang memudahkan rakyat mengakses maklumat halal lebih cepat,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Rumah Terbuka Deepavali DUN Seri Setia di Dewan Bunga Kertas, malam tadi.
Menurut Dr Fahmi, antara inovasi yang diteroka termasuk penggunaan WhatsApp sebagai platform semakan, membolehkan pengguna menghantar gambar produk untuk disahkan status halalnya.
"Kaedah ini mungkin akan menggunakan teknologi chatbot bagi mempermudah proses pengesahan," katanya.
Beliau menjelaskan sistem tersebut akan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) untuk memadankan maklumat produk dengan pangkalan data halal rasmi, sekaligus membantu pengguna mengenal pasti produk yang meragukan dengan lebih efisien.
"Kita akan bangunkan sistem ini dengan segera pada awal tahun depan. Insya-Allah, hujung tahun depan kita akan mempunyai penyelesaiannya," jelasnya.
Dalam Belanjawan Selangor 2026, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM200,000 bagi mempertingkatkan Sistem Semakan Digital Pantas, selaras usaha memastikan proses pengesahan halal menjadi lebih telus, cepat dan mudah diakses.
Sistem baharu berasaskan AI ini dijangka menjadi platform semakan halal paling mudah di negeri ini, sekaligus mengukuhkan Selangor sebagai hab halal utama negara.









