PETALING JAYA, 16 NOV: Video muzik (MV) terbaharu kumpulan Dolla berjudul Question yang mencetuskan kontroversi kerana didakwa terlalu seksi akhirnya diturunkan dari YouTube selepas menerima teguran pelbagai pihak termasuk Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Universal Music Malaysia dalam kenyataan memaklumkan mereka mengambil maklum kebimbangan orang ramai terhadap penampilan anggota kumpulan itu yang dianggap tidak sesuai dan menimbulkan sensitiviti penonton.
Pengarah Urusannya, Kim Lim berkata keputusan menarik balik MV tersebut dibuat selepas penelitian semula kandungan dan maklum balas masyarakat, lapor Kosmo!
“Sebagai syarikat rakaman dalam masyarakat majmuk, kami menghormati nilai budaya, sensitiviti agama dan pandangan peminat.
“Kami percaya kreativiti dan ekspresi seni perlu selari dengan norma setempat. Penurunan MV ini adalah langkah wajar demi menjaga keharmonian semua pihak,” katanya.
Universal Music Malaysia turut menegaskan bahawa proses semakan lebih ketat akan dilaksanakan pada perancangan kreatif akan datang, termasuk perbincangan dalaman dan konsultasi profesional.
Syarikat itu juga merakamkan penghargaan kepada peminat atas maklum balas yang diberikan secara terbuka.
Terdahulu, Datuk Dr Mohd Na’im memaklumkan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sedang meneliti kemungkinan tindakan jenayah syariah terhadap selebriti Islam yang berpakaian mencolok mata. Garis panduan pemakaian artis beragama Islam turut diarahkan untuk disemak semula.
Pendakwah bebas Ustazah Asma’ Harun turut mengkritik penampilan anggota Dolla yang disifatkan sebagai “terlalu terbuka, terlalu ghairah dan memalukan”.




