GOMBAK, 16 NOV: Usahawan wanita negeri ini berpeluang menembusi pasaran antarabangsa melalui IbuNiaga di bawah Wanita Berdaya Selangor (WBS), inisiatif Kerajaan Negeri yang memfokuskan pembangunan kapasiti, kualiti produk dan peluang pemasaran strategik.
EXCO Pembangunan Wanita, Anfaal Saari berkata Kerajaan Negeri juga telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama beberapa pihak bagi memastikan inisiatif itu dapat memberi manfaat kepada golongan wanita berpendapatan rendah.
“Kita telah memeterai kerjasama dengan Taylor’s University dan Product Lab Hasil Suri Selangor (HaSSel) bersama Khadijah International Waqf Foundation untuk menjayakan usaha ini.

Melalui kerjasama dengan Taylor’s University, pelajar akan melakukan kajian manakala ibu berpendapatan rendah diberi peluang berniaga di kampus selain latihan perniagaan turut disediakan,” katanya kepada Media Selangor.
Menurut Anfaal, kerjasama dengan Khadijah International Waqf Foundation pula memberi peluang kepada peserta menghasilkan kraf untuk mempamerkan dan menjual produk mereka di Merdeka 118 sekali gus meningkatkan kualiti produk untuk peringkat antarabangsa.
Semalam, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 memaklumkan peruntukan sebanyak RM2.8 juta akan disalurkan kepada Pusat Wanita Berdaya Selangor.
Melalui peruntukan ini, usahawan wanita Selangor dapat diperkasakan, membolehkan mereka bukan sahaja mengembangkan perniagaan tetapi juga menembusi pasaran global dengan produk yang lebih berkualiti.







