ad

Dua Pusat Pengumpulan Hasil Tani akan dibuka, atasi lambakan dan orang tengah

15 Nov 2025, 6:13 AM
Dua Pusat Pengumpulan Hasil Tani akan dibuka, atasi lambakan dan orang tengah
Dua Pusat Pengumpulan Hasil Tani akan dibuka, atasi lambakan dan orang tengah
Dua Pusat Pengumpulan Hasil Tani akan dibuka, atasi lambakan dan orang tengah

SHAH ALAM, 15 NOV: Selangor bakal membuka dua lagi Pusat Pengumpulan Hasil Tani Koperasi bagi memperkukuh pemasaran hasil pertanian, susulan kejayaan pusat sedia ada di Kuala Langat yang meningkatkan pendapatan petani.

EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim berkata pembukaan pusat baharu ini adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri memastikan petani tidak bergantung kepada orang tengah dan mendapat harga hasil tani yang lebih adil.

“Dua lokasi yang sedang dipertimbangkan ialah kawasan utara dan sebelah Hulu Langat. Dalam ekosistem pemasaran pertanian Selangor, kita sudah ada pasar borong dan pusat lelongan agro pertama di Malaysia di Sijangkang.

“Namun, kita masih perlukan pusat pengumpulan yang tersusun untuk memudahkan petani menghantar hasil terus ke pusat pengumpulan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kebun Akuaponik Eco Melati di kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, pusat pengumpulan ini memberi tempat khas kepada petani menyerahkan hasil dengan teratur, memastikan pasaran stabil dan harga kompetitif melalui sistem bidaan terbuka tanpa risiko lambakan hasil.

“Model pusat lelongan di Kuala Langat terbukti berjaya meningkatkan pendapatan petani kerana harga produk dapat meningkat melebihi harga ladang melalui bidaan terbuka.

“Sekarang kita sedang bincang sama ada untuk bekerjasama dengan Koperasi Warga Hijrah Selangor (KOHIJRAH), Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), atau Pertubuhan Peladang,” katanya.

Dalam Belanjawan Selangor 2026 yang dibentang Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari semalam, sebuah lagi Pusat Pengumpulan Hasil Tani Koperasi akan dibangunkan di Sabak Bernam bagi merancakkan sektor pertanian dan menyokong usahawan tani tempatan.

Belanjawan bertemakan “Selangor Juara, Rakyat Sejahtera” itu turut memfokuskan pelbagai inisiatif inklusif demi kesejahteraan rakyat, termasuk bidang kesihatan, pendidikan, perumahan, keluarga, wanita, warga emas, usahawan dan penggiat seni, sebagai bukti komitmen Selangor sebagai negeri maju dan sejahtera.