ad

Fasiliti SUKMA tidak akan jadi ‘gajah putih’, Selangor siap sedia anjur ISG 2029

15 Nov 2025, 7:25 AM
Fasiliti SUKMA tidak akan jadi ‘gajah putih’, Selangor siap sedia anjur ISG 2029

SHAH ALAM, 15 NOV: Kerajaan Selangor memberi jaminan semua fasiliti sukan yang dinaik taraf sempena Sukan Malaysia (SUKMA) akan diselenggara dengan baik bagi menyokong penganjuran kejohanan berprestij, termasuk Sukan Solidariti Islam (ISG) 2029.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata penyelenggaraan berterusan itu penting untuk memastikan kemudahan yang dibina bukan sahaja memenuhi standard kejohanan besar, malah memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti setempat.

“Naik taraf infrastruktur sukan ketika ini bukan terhad kepada keperluan SUKMA sahaja, malah boleh dimanfaatkan masyarakat umum dan menyokong perkembangan sukan akar umbi,” katanya kepada Media Selangor.

Menurut Mohd Najwan, Pusat Akuatik Darul Ehsan (PADE) yang sedang dinaik taraf akan dibuka kepada orang awam selepas siap, selain berfungsi sebagai pusat latihan atlet negeri.

“Turut dinaik taraf bagi penganjuran SUKMA ialah Stadium Hoki Pandamaran, fasiliti sukan di Petaling Jaya serta beberapa kemudahan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kita mempunyai tempoh tiga tahun selepas SUKMA 2026 untuk memastikan semua infrastruktur ini dalam keadaan terbaik. Ini merupakan usaha berterusan supaya bersedia untuk ISG 2029,” katanya.

Pusat Akuatik Darul Ehsan (PADE) yang sedang dinaik taraf akan dibuka kepada orang awam selepas siap sepenuhnya.

Beliau turut menekankan pengumuman Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengenai peruntukan RM1 juta untuk pembangunan ekonomi kreatif yang dilihat sebagai suntikan penting kepada ekosistem ekonomi kreatif negeri.

“Bulan ini kita akan mengumumkan Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif. Pada masa sama, peruntukan ini akan digunakan untuk membina dan menyusun ekosistem ekonomi kreatif, termasuk pemberian insentif, geran atau modal awalan kepada anak-anak muda yang terlibat dalam sektor ini,” katanya.

Mohd Najwan menjelaskan hasil pelan tindakan tersebut dijangka dapat dilihat dalam tempoh empat hingga lima tahun, terutamanya dalam mewujudkan peluang pekerjaan baharu untuk golongan belia di Selangor.

“Kita memberi tumpuan kepada semua daerah termasuk kawasan luar bandar yang mempunyai kekuatan kreatif, seperti Wau Cagat di Kuala Selangor dan usahawan Songkok Malaya yang beroperasi di Sabak Bernam. Ini bukti ekonomi kreatif bukan hanya berkembang di bandar tetapi juga di luar bandar,” jelasnya.

Mohd Najwan menegaskan, Belanjawan Selangor 2026 sangat komprehensif dengan fokus utama pada pembangunan usahawan, sukan dan generasi muda.

“Satu belanjawan yang cukup komprehensif, menyentuh pelbagai segmen masyarakat dan semestinya belanjawan kali ini banyak berikan penumpuan kepada pembangunan usahawan dan juga sukan termasuk juga generasi muda,” katanya.

Semalam, Amirudin membentangkan Belanjawan 2026 berjumlah RM3.23 bilion, merangkumi kos pengurusan dan pembangunan negeri bagi tahun depan.