SHAH ALAM, 14 NOV: Sistem cukai ABT Tracker bakal dibangunkan mulai tahun depan sebagai langkah menambah baik sistem notifikasi dana pungutan cukai.
Dato’ Menteri Besar berkata pelaksanaan sistem dibuat susulan teguran diterima dari Jabatan Audit Negara berhubung isu tunggakan cukai yang belum berjaya dikutip negeri.
“Ini mendorong usaha negeri untuk menambah baik sistem notifikasi dan pungutan cukai. Bermula 2026, Kerajaan Negeri akan membangunkan sistem cukai bernama ABT Tracker yang melibatkan akaun belum terima.
“Langkah ini berupaya mencapai sasaran kutipan RM50 juta daripada jumlah tunggakan terkumpul,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentang Belanjawan Selangor 2026 hari ini.
Selain itu Amirudin berkata Fi Kelestarian dikenal pasti sebagai potensi baharu memperkukuhkan industri pelancongan sekali gus dapat meningkatkan keupayaan negeri mengukuhkan fasiliti asas berteras pemeliharaan dan pemulihan sumber.
Jelasnya hasil fi berkenaan akan diagihkan secara bersama dengan akaun hasil negeri, pihak berkuasa tempatan serta tabung amanah Fi Kelestarian.
“Tahun ini, Kerajaan Negeri menerima peningkatan peruntukan pelancongan daripada Kerajaan Persekutuan RM6.9 juta berbanding RM4.5 juta pada 2024.
“Usaha membolehkan rizab Kerajaan Negeri semakin kukuh. Sehingga 12 November 2025, rizab negeri mencapai RM4.8 bilion, iaitu RM1.6 bilion dalam akaun hasil disatukan dan RM3.2 bilion dalam akaun amanah disatukan,” katanya.






