SHAH ALAM, 14 NOV: Program kitar semula e-waste SELKitar yang diterajui KDEB Waste Management (KDEBWM) terus diperluas dengan penambahan 100 unit mesin kitar semula pintar (RVM) di seluruh negeri, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kemudahan yang beroperasi 24 jam itu ditempatkan di kawasan awam bagi memudahkan rakyat mengitar semula barangan terpakai termasuk minyak masak, sekali gus memberikan ganjaran kepada rakyat.

“Program tersebut, yang dijalankan melalui kerjasama KDEBWM dan Nestlé, mencatat perkembangan positif apabila 122.2 tan bahan buangan elektronik berjaya dikumpulkan sehingga September tahun ini
"Ke hadapan, KDEBWM akan mengembangkan usaha kitaran e-waste SELKitar dengan 100 unit RVM di seluruh negeri,” katanya pada pembentangan Belanjawan Selangor 2026, hari ini.

Pada April lalu, Kerajaan Negeri melalui KDEBWM memeterai kerjasama dengan Nestlé Malaysia bagi memperkasa kitar semula menerusi kutipan dari rumah ke rumah.
Menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) itu, Dato’ Seri Amirudin berkata kerjasama strategik ini adalah prapermulaan kepada inisiatif yang diperkenalkan Kerajaan Negeri dalam pembentangan belanjawan sebelum ini.
Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, kerjasama strategik itu sejajar dengan apa yang digariskan dalam Belanjawan 2025 untuk mengurangkan sisa di kawasan pihak berkuasa tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada tapak kambus tanah.







