SHAH ALAM, 14 NOV: Kerajaan Negeri meneruskan Program Pembangunan Modal Insan Penjawat Awam bagi memperkasa keupayaan dan profesionalisme kakitangan awam negeri, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.
Menurut beliau, Belanjawan Selangor 2026 memperuntukkan RM1 juta bagi melaksanakan program tersebut, yang merangkumi siri latihan, bengkel dan kursus berimpak tinggi di dalam serta luar negara.
“Pembangunan modal insan dan sosial adalah dasar penting untuk melahirkan sumber manusia berkualiti yang memberi manfaat kepada ekonomi dan kehidupan masyarakat.
“Oleh itu, Kerajaan Negeri memperkenalkan Program Pembangunan Modal Insan Penjawat Awam dengan peruntukan RM1 juta bagi memperkasa penjawat awam Selangor,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 hari ini.
Inisiatif ini selari dengan fokus Kerajaan Negeri untuk meningkatkan kecekapan agensi dan jabatan di Selangor, khususnya dalam menghadapi keperluan pentadbiran moden yang semakin kompleks serta perubahan teknologi yang pesat.
Dalam pembentangannya, Amirudin turut memaklumkan bahawa kerajaan akan memulakan pembangunan Enterprise Architecture (EA) di Bahagian Pengurusan Maklumat (BPM) dengan peruntukan RM750,000.
“EA merupakan pendekatan strategik yang menyelaraskan strategi pengurusan organisasi dengan sistem, proses dan teknologi digital bagi mencapai matlamat serta hala tuju yang ditetapkan.
“Menerusi EA, kita dapat membina persekitaran ICT yang lebih tersusun, mudah diurus dan efisien. Pembangunannya akan bermula di BPM berpandukan rangka kerja dan metodologi MyGovEA yang disediakan Jabatan Digital Negara (JDN),” jelasnya.
Tahun lalu, Amirudin memaklumkan sejumlah RM1 juta diperuntuk bagi program pembangunan modal insan penjawat awam.
Kerangka EA dijangka menjadi asas penting kepada usaha pendigitalan Kerajaan Negeri termasuk peningkatan infrastruktur ICT, integrasi data antara jabatan serta pengukuhan keselamatan maklumat.




