ad

Belanjawan Selangor 2026: Hans Isaac harap Selangor kurang, ketepi cukai hiburan pawagam

14 Nov 2025, 1:01 AM
Belanjawan Selangor 2026: Hans Isaac harap Selangor kurang, ketepi cukai hiburan pawagam

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) berharap Belanjawan Selangor 2026 akan mengetepikan atau mengurangkan cukai hiburan pawagam bagi meningkatkan pembangunan dan kualiti karya tempatan, seperti mana dilakukan pada 2025 untuk cukai hiburan konsert artis.

Pengerusinya Dato’ Hans Isaac berkata, pengurangan cukai hiburan untuk pawagam akan memberi manfaat langsung kepada pengusaha pawagam dan penerbit filem tempatan, sekali gus membantu meningkatkan kualiti penerbitan.

“Di bawah hala tuju Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, Finas mahu memastikan filem tempatan menembusi pasaran antarabangsa.

“Pengurangan cukai ini akan membantu penerbit menggunakan lebihan dana untuk mempertingkat mutu dan kualiti filem,” katanya ketika ditemui Media Selangor di Ibu Pejabat Finas, baru-baru ini.

Tambahnya, jika Selangor bertindak memperluas pengecualian cukai hiburan kepada pawangam, ia dijangka menggalakkan lebih ramai penonton kembali ke pawagam, namun beliau menegaskan pemantauan perlu dilakukan bagi memastikan manfaat pengurangan cukai diterjemahkan kepada harga tiket yang lebih rendah.

“Kalau cukai hiburan 25 peratus dihapuskan, tiket pawagam perlu turun daripada RM20 kepada sekitar RM15.

“Pegawai Finas akan memantau perkara ini supaya pengusaha tidak mengekalkan harga lama,” katanya lagi.

Untuk rekod, pada Belanjawan 2025 lalu, Selangor memansuhkan cukai hiburan untuk konsert artis tempatan dan mengurangkan cukai untuk konsert artis luar negara dari 25 peratus kepada 10 peratus susulan perbincangan yang berjalan sebelum pandemik Covid-19 melanda, tindakan yang dipuji Hans.

“Saya berterima kasih kepada Dato’ Seri Menteri Besar dan Kerajaan Negeri atas keprihatinan serta keterbukaan dalam membincangkan isu yang dekat dengan pemain industri hiburan tanah air,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Hans menyifatkan Kerajaan Selangor sebagai negeri paling ke hadapan dan proaktif dalam menyambut cadangan pengurangan cukai hiburan.

Menurut beliau, beberapa negeri lain telah memberikan maklum balas kepada Finas berhubung hasil kutipan cukai hiburan masing-masing, namun hanya Selangor paling pantas dan jelas terhadap cadangan pengurangan tersebut.

“Selangor paling ke hadapan dengan cadangan ini jadi saya harap negeri lain juga mencontohi Selangor kerana kita berkarya untuk semua, bukan untuk diri sendiri.

“Apabila satu negeri seperti Selangor melaksanakan langkah ini, ia boleh dijadikan contoh untuk negeri lain seperti Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan sebagainya,” ujarnya.

Tambahnya, berbanding negeri lain yang masih meneliti kesan pengurangan hasil cukai hiburan, Selangor telah menunjukkan komitmen tinggi dan memahami kepentingan langkah tersebut kepada industri filem dan hiburan tempatan.

“Namun kita perlu faham, cukai hiburan ialah hasil Kerajaan Negeri, bukan hasil persekutuan, jadi prosesnya mesti dilakukan secara berperingkat,” jelasnya.