SHAH ALAM, 13 NOV: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat semula kehilangan Amri Che Mat dan pastor Raymond Koh, susulan keputusan mahkamah yang mendapati polis sebelum ini gagal menjalankan siasatan sewajarnya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pasukan itu diketuai pegawai polis berpangkat Asisten Komisioner (ACP) dan akan meneliti semua kertas siasatan dengan telus serta bebas daripada sebarang campur tangan.
Mandat pasukan termasuk mengkaji laporan SUHAKAM, laporan Pasukan Petugas Khas (PPK), serta mendapatkan keterangan baharu.
“Kami mengajak mana-mana pihak yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu pihak polis,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menambah, Peguam Negara telah mengumumkan niat kerajaan untuk mengemukakan rayuan, selaras dengan prinsip keadilan yang membolehkan pihak terlibat membela diri.
Amri, pengasas Persatuan Perlis Hope, dilaporkan hilang pada 24 November 2016, manakala paderi Koh hilang pada 13 Februari 2017.
Pada 5 November lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan kerajaan membayar RM3.3 juta kepada isteri Amri, Norhayati Mohd Ariffin, dan lebih RM37 juta kepada isteri Koh, Susanna Liew, selepas mendapati polis gagal menjalankan siasatan sewajarnya.




