SHAH ALAM, 14 NOV: Universiti Putra Malaysia (UPM) mencipta kejayaan baharu dalam bidang keselamatan digital dengan membangunkan Kriptografi Atasi Zarah (KAZ-SIGN), tandatangan digital tahan kuantum pertama dihasilkan hasil penyelidikan tempatan.
Teknologi ini dibangunkan oleh Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia (PTPKM) dengan kerjasama Phison Electronics Corporation dan MaiStorage.
KAZ-SIGN direka untuk menghadapi ancaman komputer kuantum, memastikan pengesahan data, integriti dan ketidaksangkalan maklumat dapat dijamin walaupun dalam persekitaran digital berteknologi tinggi.
Pengarah PTPKM, Prof. Dr. Muhammad Rezal Dato’ Dr. Kamel Ariffin berkata KAZ-SIGN menggunakan formula matematik hasil penyelidikan tempatan, membolehkan proses tandatangan digital yang selamat dan tahan terhadap godaman kuantum.
“Teknologi ini bukan sahaja melindungi data secara nasional, tetapi turut membuka jalan kepada syarikat besar dan institusi kewangan untuk mengadaptasi sistem keselamatan digital tempatan,” katanya dalam kenyataan.
Phison dan MaiStorage dipilih sebagai rakan strategik kerana kepakaran mereka dalam teknologi mikropengawal (microcontroller) dan komitmen untuk mengintegrasikan inovasi tempatan dalam kriptografi kuantum.
Projek ini dijangka menjadi pemangkin kepada ekosistem keselamatan digital nasional dan meletakkan UPM sebagai peneraju penyelidikan kriptografi pasca-kuantum di rantau ini, sejajar aspirasi Malaysia menuju Negara AI dan Kuantum 2030.






