SHAH ALAM, 13 NOV: Projek sambungan Lebuhraya Baru Pantai (NPE2) sepanjang 15 kilometer dari Plaza Tol Pantai Dalam ke Jalan Istana dijangka siap dan mula beroperasi pada 2029.
Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi berkata projek yang bernilai RM1.7 bilion itu merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Trafik Kuala Lumpur 2040 yang membantu mengurangkan kesesakan di koridor Pantai Dalam, Bangsar dan Mahameru, lapor Free Malaysia Today (FMT).
"Apabila siap kelak, pengguna dapat menjimatkan hingga 25 minit masa perjalanan dari Bangsar, Mid Valley ke Subang Jaya.
"Projek ini dijangka merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat di kawasan Pantai Dalam, Bangsar dan Lembah Pantai serta membuka peluang baharu dalam sektor perumahan, komersial dan perkhidmatan,” katanya.
Menurut beliau, kos pembangunan projek NPE2 adalah dibiayai sepenuhnya oleh New Pantai Expressway Sdn Bhd tanpa beban kewangan kepada kerajaan,
"Ini merupakan contoh terbaik kerjasama Awam-Swasta (PPP) dalam pembangunan infrastruktur mampan,” tambah Nanta.
Dalam masa yang sama, Nanta turut mengulas berkaitan pelaksanaan sistem kutipan tol Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF), katanya sebanyak enam syarikat menyatakan minat untuk membida projek berkenaan.
Nanta menjelaskan pelaksanaan sistem itu akan dibuat menerusi perbincangan antara syarikat penyedia perkhidmatan dengan syarikat konsesi lebuh raya bertol sedia ada.




