Oleh Khairiz Khairudin
SHAH ALAM, 13 NOV: Kerajaan persekutuan memutuskan untuk tidak mengemukakan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkaitan pemberian khas 40 peratus hasil kepada Sabah, seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Khas Jemaah Menteri 11 November lalu, yang turut mendengar taklimat penuh daripada Peguam Negara dan Perbendaharaan Negara berhubung implikasi undang-undang serta pelaksanaan keputusan mahkamah tersebut.
Beliau berkata kerajaan menghormati perlembagaan dan proses perundangan negara serta mengambil kira semua pertimbangan sebelum membuat keputusan untuk tidak meneruskan rayuan.
“Kerajaan persekutuan terikat dengan perlembagaan dan perjanjian yang telah termaktub. Oleh itu, kita menunggu laporan penuh sebelum membuat keputusan muktamad,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berkenaan rasional pihak kerajaan untuk tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkenaan isu 40 peratus hasil negeri Sabah.
Anwar berkata, Perbendaharaan melalui Ketua Setiausaha Perbendaharaan telah menghantar surat kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah bagi memulakan rundingan segera supaya proses pelaksanaan pemberian khas itu dapat dijalankan tanpa sebarang penangguhan.
Perdana Menteri turut menjelaskan keputusan Jabatan Peguam Negara sebelum ini untuk memfailkan rayuan tidak akan menjejaskan keputusan baharu kerajaan.




