SHAH ALAM, 13 NOV: Kerajaan Negeri meminta pihak pengurusan Selangor FC menyerahkan laporan berkaitan kekecohan yang dicetuskan penyokong selepas aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) menentang Persib Bandung minggu lalu.
EXCO Sukan Najwan Halimi berkata pengurusan Selangor FC perlu mengadakan perbincangan dalaman bagi menyelesaikan isu yang melanda kelab berkenaan.
“Kami meminta pihak pengurusan Selangor FC memaklumkan kepada Kerajaan Negeri berkaitan insiden yang berlaku serta kelemahan yang dihadapi untuk tujuan penambahbaikan.

“Mereka juga perlu berunding bagi menyusun semula strategi terbaik supaya prestasi Selangor FC kembali pulih,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Sesi Libat Urus BE2026 bersama pemegang taruh Selangor di Klang.
Najwan menegaskan, Kerajaan Negeri tidak mencampuri pengurusan kelab tetapi sentiasa bersedia membantu dari aspek pembangunan dan dana.
Insiden kekecohan berlaku susulan kegagalan Selangor FC mengekalkan kemenangan dalam kempen ACL2, apabila tewas 2-3 kepada Persib Bandung di Stadium MBPJ, Khamis minggu lalu.





