KUALA LUMPUR, 13 NOV: Seorang peneraju industri menyifatkan Dato’ Seri Amirudin Shari sebagai pemimpin berwawasan jauh atas peranannya memajukan industri semikonduktor di Selangor.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Siemens Malaysia, Tindaro Danze berkata keputusan Kerajaan Negeri menumpukan kepada taman reka bentuk litar bersepadu (IC) bagi meningkatkan rantaian nilai merupakan langkah penting memastikan Selangor dan Malaysia kekal berdaya saing serta relevan dalam ekosistem semikonduktor global.
“Saya berpendapat bukan sahaja ia sesuatu yang boleh dicapai (untuk menjadikan Selangor antara hab utama reka bentuk cip dunia), malah ia satu keperluan. Jika tidak, Selangor dan Malaysia akan terus berada di bahagian belakang rantaian nilai.
“Saya amat gembira kerana (kerajaan negeri) menuju ke arah ini kerana saya percaya ia penting untuk memastikan Malaysia terus berada di barisan hadapan industri.
“Melalui pendekatan ini, komponen bernilai tinggi dalam rantaian tersebut dapat dihasilkan di dalam negara, dan inilah yang saya lihat sebagai visi berfikiran jauh yang dimiliki Dato’ Menteri Besar,” katanya kepada Media Selangor di luar Sidang Kemuncak Selangor Techsphere yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Selasa dan semalam.

Pada 6 November lalu, Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor melancarkan Taman Reka Bentuk Semikonduktor IC 2 di Cyberjaya — satu inisiatif yang disifatkan Amirudin sebagai pencapaian penting dalam misi Selangor menjadi hab semikonduktor utama negara dan pemain global dalam tempoh lima tahun akan datang.
Taman pertama di Puchong yang dilancarkan tahun lalu kini menempatkan 14 syarikat semikonduktor serta lebih 200 jurutera, dan jumlah itu dijangka meningkat dua kali ganda dalam beberapa bulan akan datang.
Menurut Danze, cabaran terbesar Selangor dalam usaha menjadi pengeluar cip global terkemuka ialah mengekalkan bakat tempatan kerana ramai tenaga mahir memilih untuk mencari peluang lebih baik di luar negara.
“Apabila tenaga kerja sudah dilatih, masalah yang sering berlaku ialah penghijrahan bakat. Mereka akan berterima kasih atas latihan yang diterima, kemudian berhijrah ke Silicon Valley untuk memperoleh pendapatan lumayan.
“Itulah cabaran utama — bagaimana mengekalkan mereka. Saya serahkan kepada Dato’ Menteri Besar mencari jalan penyelesaian, tetapi ia sememangnya satu cabaran besar yang perlu dihadapi,” katanya.
Dalam pada itu, Danze menegaskan pendidikan termasuk program peningkatan dan pemerkasaan kemahiran kekal sebagai tonggak utama bagi melahirkan tenaga kerja bersedia industri.
Beliau berkata kebanyakan perbincangan antara Siemens Malaysia dan Kerajaan Negeri Selangor banyak tertumpu kepada aspek latihan serta pendidikan, khususnya bagaimana tenaga kerja boleh menyesuaikan diri dengan teknologi baharu.
Katanya lagi, Siemens Malaysia turut bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memperluas pendidikan teknologi ke peringkat lebih awal, termasuk kepada pelajar sekolah.
“Kami sudah bekerjasama dengan institusi seperti universiti... namun kami juga ingin membawa pendidikan teknologi kepada murid sekolah. Kami pernah mengadakan beberapa eksperimen seperti penganjuran hackathon untuk pelajar berumur sembilan hingga 15 tahun. Anda tidak boleh memulakan (pendedahan) ini terlalu awal,” ujar beliau.
Sementara itu, ketika melancarkan Selangor Techsphere Summit pada Selasa, Amirudin berkata kerajaan negeri berhasrat memupuk minat terhadap pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) dalam kalangan pelajar sekolah menengah tahun depan, sebagai lanjutan usaha Selangor memperkasa graduan dan melahirkan generasi tenaga mahir baharu.





