MAKKAH: Hujan lebat menyebabkan beberapa kawasan berhampiran kota suci Makkah dilanda banjir kilat, semalam.
Rakaman yang tular di media sosial menunjukkan air berlumpur mengalir deras memenuhi jalan raya dan kawasan kejiranan di sekitar bandar itu.
Rakaman itu juga menunjukkan beberapa kenderaan dilihat terperangkap dalam banjir manakala pemandu lain cuba mengharungi air yang semakin meningkat, memetik The Sun US
Difahamkan, lebuh raya utama dengan lori dan kereta bergerak perlahan akibat angin kencang serta hujan berterusan.
Dalam pada itu, media tempatan melaporkan, keadaan cuaca tidak menentu dan ribut petir tertumpu di bahagian utara serta barat negara itu.
Jabatan kaji cuaca pula menjangkakan, hujan lebat akan berterusan hingga hujung minggu ini dan antara kawasan dijangka terjejas ialah Makkah, Jeddah serta Madinah.
Susulan itu, kelajuan angin dilaporkan mencecah 50 kilometer (km) sejam manakala ketinggian ombak pula dicatat sehingga dua setengah meter di beberapa kawasan pada malam semalam.
Hujan batu dijangka melanda pada Rabu disertai angin kencang selepas kejadian banjir itu.
Sementara itu, pihak berkuasa cuaca Arab Saudi turut memaklumkan, wilayah Jazan, Asir, Al-Baha dan Makkah dijangka menerima hujan lebat berterusan.
Tahun lalu, beberapa kawasan di Arab Saudi turut dilanda hujan lebat dengan jalan raya bertukar menjadi sungai deras.




