SHAH ALAM, 12 NOV: Harga runcit petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi di seluruh negara ditetapkan RM3.25 seliter dan RM2.65 seliter, bagi tempoh 13 hingga 19 November ini.
Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dalam kenyataan memaklumkan harga runcit bahan api itu ditetapkan seiring dengan peningkatan harga minyak dunia.
Harga runcit petrol bersubsidi RON95 di bawah BUDI MADANI RON95 (BUDI95) pula kekal RM1.99 seliter.
Selain itu, harga runcit diesel di Semenanjung ditetapkan RM3.07 seliter manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal RM2.15 seliter dalam tempoh sama.
“Penetapan harga berkenaan dibuat berdasarkan harga mingguan produk petroleum mengikut Mekanisme Harga Automatik (APM).
“Kerajaan akan terus meneliti dan menyelaras harga runcit petrol RON97, RON95 dan diesel berdasarkan perkembangan pasaran minyak dunia semasa, namun keutamaan tetap diberikan kepada kestabilan harga,“ menurutnya.
Kerajaan juga terus memantau trend harga minyak mentah dunia dan mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.




