SHAH ALAM, 12 NOV: Seorang bekas pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Kinarut, hari ini memberitahu Mahkamah Koroner bahawa Allahyarham Zara Qairina Mahathir adalah pelajar yang sopan, periang dan aktif membantu guru serta rakan di sekolah sebelum kematiannya pada Julai lalu.
Dalam kenyataan bersama peguam mewakili ibu Zara Qairina hari ini, Deponen ke-44 yang juga saksi kanak-kanak ke-35 itu berkata, Zara Qairina dikenali sebagai seorang yang happy go lucky dan tidak menunjukkan tanda-tanda mempunyai masalah mental, kemurungan atau kesedihan, lapor Harian Metro.
Menurut saksi, Zara Qairina sering membawa dan membaca al-Quran di surau sekolah serta dikenali sebagai pelajar junior yang rajin dan suka membantu ahli Badan Dakwah dan Rohani (BADAR).
"Saya selalu nampak Zara membawa al-Quran dan dia selalu membacanya di surau sekolah. Zara juga pelajar junior yang menyerlah di sekolah, rajin dan suka membantu BADAR.
"Namun ada pelajar Tingkatan Dua yang tidak suka dengan perangai Zara kerana Zara suka tulis nama pelajar yang tidak solat," katanya merujuk kenyataan itu hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan peguam Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh Farrah Nasse dan Elhanan Jamaes.
Mengulas lanjut, saksi memaklumkan pada malam kejadian, beliau bersama pelajar lain yang pada ketika itu sedang menggunakan mesin basuh sekali gus mendengar pelajar lain bercakap buruk mengenai Zara Qairina.
"Seingat saya mereka cakap Zara 'Sok-Sok Badar'. Saya juga diberitahu oleh kawan bahawa Zara dipanggil ke sebuah dorm dan dimarahi oleh beberapa pelajar senior Tingkatan Empat.
"Ada seorang pelajar senior dikatakan paling teruk memarahi Zara. Selepas kejadian itu Zara menangis dan dikatakan ada meminjam gunting daripada rakan dormnya," katanya.
Tambahnya, seingatnya pada minggu kejadian, ketua warden ada membuat pengumuman yang pelajar dilarang menghubungi ibu bapa dan arahan berkenaan adalah arahan daripada pengetua.
"Larangan itu adalah selama dua hari daripada 16 Julai sehingga 18 Julai. Mereka hanya dibenarkan menghubungi ibu bapa pada jam 10 malam hari Jumaat, oleh sebab sekuriti Aunty Linah rimas ramai pelajar meminjam telefonnya.
"Disebabkan itu, Aunty Linah bertanya kepada Ustaz Azhari bagi pelajar menghubungi ibu bapa. Suasana pada masa itu takut dan ramai pelajar menangis," katanya




