KUALA LUMPUR, 12 NOV: Selangor sedang mendapatkan khidmat nasihat Siemens Malaysia bagi membantu mengurangkan kadar semasa air tidak berhasil (NRW) daripada 27 peratus kepada lima peratus.
Ketua pegawai eksekutif Siemens Malaysia berkata usaha itu sebahagian komitmen syarikat berkenaan membantu Selangor menangani cabaran sedia ada melalui penyelesaian berasaskan teknologi.
Menurut Tindaro Danze, ia susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dengan Kerajaan Negeri tahun lalu yang melantik syarikat dari Jerman itu sebagai penasihat teknikal.

“Selangor sedang meneroka beberapa bidang untuk penambahbaikan, termasuk pengurusan air. Negeri ini masih berdepan isu kebocoran air yang ketara, dengan hampir 30 peratus air terawat hilang.
“Kami mempunyai teknologi yang boleh membantu negeri ini mengurangkan kadar kebocoran sehingga serendah lima peratus,” katanya kepada Media Selangor dalam satu temu bual sempena Sidang Kemuncak Selangor Techsphere di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur semalam dan hari ini.
Danze menambah Siemens Malaysia mengetuai delegasi Selangor ke Jerman dan Belanda selepas pemeteraian MoU pada Februari tahun lalu, bagi meninjau inisiatif pengurusan air di sana.
“Kami beritahu (Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari), kami bukan sekadar menunjukkan pembentangan PowerPoint. Kami bawa beliau berjumpa pelanggan yang menggunakan teknologi kami.
“Inilah bentuk nasihat yang kami berikan kepada negeri. Jika berminat dengan mana-mana inisiatif itu, kami boleh laksanakan di sini juga. Hanya maklumkan bagaimana kami boleh membantu,” ujarnya.

Pada 2 Februari 2024, Selangor menandatangani MoU dengan Siemens Malaysia bagi perkhidmatan rundingan dan nasihat teknologi untuk negeri mendigital serta menambah baik perkhidmatan awamnya.
Dalam majlis itu, Amirudin berkata kepakaran dan teknologi Siemens mampu membantu pentadbiran negeri meningkatkan kualiti hidup rakyat Selangor.
Sementara itu, pada 27 Oktober tahun ini, Amirudin menyeru persekutuan mempertimbang pemansuhan atau pengurangan duti import serta kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas teknologi dan peralatan strategik bagi membantu mengurangkan NRW.
Kini, kadar NRW Selangor berada pada kadar sekitar 27 peratus, iaitu kedua terendah selepas Johor yang mencatat 25 peratus.





