SHAH ALAM, 12 NOV: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengutip sebanyak RM2.7 juta wang tidak patuh syariah sepanjang tahun lalu, kata Pengerusinya Dato’ Salehuddin Saidin.
Beliau berkata, kutipan tersebut diperoleh daripada sumber kewangan tidak berlandaskan syariah atau haram seperti transaksi riba dan perlindungan insurans konvensional.
“Buat masa ini, RM1.5 juta wang tidak patuh syariah diserahkan kepada Mais untuk diuruskan demi manfaat umat Islam.
"Wang tidak patuh syariah ini dari segi hukumnya boleh digunakan untuk tujuan umum seperti pembinaan bangunan atau infrastruktur kegunaan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Mais dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di sini, hari ini.
Majlis itu turut disaksikan beliau bersama Pengerusi KWSP Tan Sri Mohd Zuki Ali dengan Mais diwakili Setiausaha, Mohd Sabirin Mohd Sarbini manakala KWSP oleh Ketua Pegawai Operasi, Sazaliza Zainuddin.
Menurut Salehuddin, kerjasama strategik pertama antara Mais dan KWSP itu merupakan inisiatif bagi memperkukuh pengurusan harta dan kewangan masyarakat Islam berlandaskan syariah.
“Menerusi kerjasama ini, Mais menawarkan kursus pengurusan harta pusaka Islam kepada anggota KWSP, khususnya barisan hadapan di cawangan KWSP melalui Akademi Baitulmal Mais,” jelasnya.
Selain itu, beliau berkata persefahaman berkenaan turut merangkumi usaha mempromosikan Akaun Simpanan Syariah KWSP dan menggalakkan anggota membuat penamaan simpanan mereka.
“Mais juga akan mengadakan promosi bersama untuk memperkenalkan produk dan perkhidmatan Baitulmal, selain mengadakan taklimat atau bengkel berhubung kelayakan Mais sebagai penama bagi ahli KWSP beragama Islam.
"Menjadi kewajipan Mais untuk menggalakkan umat Islam menyucikan harta mereka dengan mencarum ke dalam akaun patuh syariah,” katanya.





