ad

KWSP: Hanya 542,844 daripada 1.55 juta pencarum Islam di Selangor daftar akaun syariah

12 Nov 2025, 6:51 AM
KWSP: Hanya 542,844 daripada 1.55 juta pencarum Islam di Selangor daftar akaun syariah
KWSP: Hanya 542,844 daripada 1.55 juta pencarum Islam di Selangor daftar akaun syariah

SHAH ALAM, 12 NOV: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan hanya 542,844 daripada 1.55 juta pencarum beragama Islam di Selangor berdaftar di bawah akaun simpanan syariah.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata berdasarkan jumlah 34.1 peratus itu, pihaknya mendapati terdapat ruang yang masih luas untuk umat Islam bertukar kepada akaun patuh syariah.

“Masih banyak ruang untuk meningkatkan penyertaan, terutama melalui kerjasama strategik dengan Majlis Agama Islam Selangor (Mais), memandangkan majoriti umat Islam negeri ini berada dalam capaian pelbagai program sosial dan ekonomi.

“Malah, dengan kerjasama bersama Mais, KWSP berharap lebih ramai masyarakat Islam terdorong menyimpan secara konsisten demi hari tua, selain menikmati manfaat yang ditawarkan oleh Mais,” katanya.

Beliau berucap pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara KWSP dan Mais, yang turut dihadiri Pengerusi Mais, Dato’ Salehuddin Saidin.

Dalam ucapannya, Tan Sri Mohd Zuki Ali menyifatkan kerjasama itu sebagai simbol kesinambungan usaha memupuk kesedaran kewangan, memperluas capaian keselamatan sosial, dan memperkukuh sistem sokongan.

“KWSP dan Mais bukan institusi asing antara satu sama lain kerana kedua-duanya berperanan menjaga kebajikan rakyat. KWSP melalui perlindungan simpanan persaraan, manakala Mais mengurus hal ehwal Islam termasuk kesejahteraan ekonomi umat Islam di Selangor.

“Kerjasama ini dijangka memperkukuh celik kewangan Islam dalam kalangan masyarakat serta menjadi titik permulaan kepada pembangunan sosioekonomi negara secara keseluruhan,” katanya.

Terdahulu, majlis menandatangani MoU menyaksikan Mais diwakili Setiausahanya, Mohd Sabirin Mohd Sarbini, manakala KWSP diwakili Ketua Pegawai Operasinya, Sazaliza Zainuddin.