SHAH ALAM, 14 NOV: Pendigitalan perlu terus menjadi teras utama agenda pembangunan dan Belanjawan Selangor 2026 bagi peningkatan produktiviti, inovasi dan pertumbuhan inklusif merentasi sektor.
Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd berkata dasar negeri wajar terus disandarkan pada keupayaan teknologi itu berikutan pendigitalan kini sebati dalam kehidupan seharian.
“Ini termasuk bagaimana jentera kerajaan melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dan memastikan penyampaian perkhidmatan yang lancar,” kata Mohd Afzanizam Abdul Rashid kepada Media Selangor.
“Pendigitalan juga boleh membantu perniagaan berkembang, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS), serta meningkatkan pengalaman pembelajaran dalam kalangan pelajar di Selangor.”

Jelasnya, usaha itu akan diterjemah kepada pertumbuhan ekonomi yang dipacu produktiviti dan keterangkuman lebih tinggi, memastikan kemakmuran dikongsi secara adil merentasi masyarakat.
Selangor beberapa tahun kebelakangan ini giat memacu agenda pendigitalan, dengan sebahagian besar peruntukan disalurkan bagi memperkukuh infrastruktur digital, perkhidmatan dan inisiatif inovasi.
Pada September tahun lalu, Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Selangor menyasar untuk memperkasa sektor pendigitalan, khususnya dalam kecerdasan buatan, termasuk melalui penubuhan pusat pembangunan AI.
Sementara itu, Afzanizam menambah pengurusan fiskal berhemah memberikan ruang kewangan mencukupi kepada Kerajaan Negeri untuk melaksanakan dasar berunsur pengembangan ekonomi.
Selain mencatat baki lebihan selama lima tahun berturut-turut, beliau berkata ekonomi Selangor terus mengatasi pertumbuhan ekonomi negara.
Pada 2024, Selangor merekodkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak RM432.1 bilion, dengan pertumbuhan tahunan 6.3 peratus, mengatasi kadar pertumbuhan nasional sebanyak 5.1 peratus.

Selangor turut mencatat pelaburan diluluskan bernilai RM34.7 bilion dalam tempoh setengah tahun pertama 2025, kedua tertinggi selepas Johor, sambil mengekalkan kadar inflasi stabil 1.5 peratus bagi sembilan bulan pertama tahun ini — menurun daripada 2.2 peratus pada 2024.
“Anggaran kami menunjukkan Selangor dijangka mencatat pertumbuhan KDNK sebanyak 5.4 peratus tahun ini, disokong sektor utama seperti pembuatan dan perkhidmatan,” kata Afzanizam.
Beliau menjangkakan Belanjawan Selangor 2026 akan terus mengekalkan pendekatan berpandangan jauh, dengan penekanan terhadap teknologi, kelestarian dan infrastruktur sebagai pemacu utama pertumbuhan tahun hadapan.
Belanjawan Selangor 2026 akan dibentangkan hari ini, dengan tumpuan terhadap daya tahan fiskal dan pembangunan modal insan, selain memperkukuh kedudukan strategik negeri sebagai pemacu utama ekonomi negara.
Amirudin sebelum ini menyifatkan belanjawan tersebut sebagai “belanjawan peralihan”, kerana bukan sahaja menutup tirai Rancangan Selangor Pertama (RS-1), tetapi turut membuka landasan untuk Rancangan Selangor Kedua (RS-2) yang akan dilancarkan tahun hadapan.





