SHAH ALAM, 12 NOV: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menjelaskan bahawa pelaksanaan projek jejambat baharu menghubungkan Persiaran Lagoon Selatan ke Subang–Kelana Link merupakan langkah strategik untuk mengurangkan kesesakan serta meningkatkan aliran trafik di kawasan Subang Jaya, Sunway dan USJ.
MBSJ berkata reka bentuk projek berkenaan telah melalui dua sesi libat urus komuniti iaitu pada 19 Mei 2023 dan 13 Oktober 2023 di Padang Assam, SS14, selain sesi dialog bersama penduduk serta agensi teknikal di Ibu Pejabat MBSJ pada 22 November 2024.
“Hasil libat urus itu, MBSJ telah mengambil kira semua pandangan dan cadangan daripada penduduk serta agensi berkaitan bagi memastikan penyuraian trafik dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan serta memberi manfaat optimum kepada komuniti,” maklumnya menerusi kenyataan.
Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan projek berkenaan telah melalui Kajian Impak Trafik (TIA), Audit Keselamatan Jalan Raya (RSA) serta semakan teknikal oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Petaling, New Pantai Expressway (NPE) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
MBSJ menambah, reka bentuk projek mematuhi sepenuhnya keperluan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) serta dilaksanakan di atas tanah kerajaan tanpa melibatkan pengambilan balik tanah.
“MBSJ mengesahkan projek ini telah mendapat kelulusan Kebenaran Merancang (Development Order) melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat (OSC).
“Tiada keperluan untuk menyediakan Social Impact Assessment (SIA) atau Environmental Impact Assessment (EIA) kerana projek ini hanya melibatkan pembinaan jalan di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan,” katanya lagi.
Katanya lagi, semua maklum balas dan reka bentuk telah dibentangkan serta disokong oleh pelbagai agensi teknikal kerajaan negeri dan persekutuan, termasuk Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Indah Water Konsortium (IWK), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Mineral dan Geosains.
MBSJ turut menegaskan komitmen untuk melaksanakan projek tersebut dengan telus dan berpaksikan kepentingan awam, selain memastikan pembangunan infrastruktur di Subang Jaya terus seimbang dengan kesejahteraan penduduk.
Terdahulu, tular video memaparkan demonstasi penduduk SS14 yang membantah pelaksanaan projek jejambat Persiaran Lagoon Selatan ke Subang–Kelana Link, pada Sabtu lalu.




