SHAH ALAM, 12 NOV: Jangkitan HIV baharu di Malaysia mencatatkan penurunan ketara sebanyak 54 peratus dalam tempoh lebih dua dekad, hasil pelaksanaan pelbagai dasar kesihatan awam serta program intervensi berfokus oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata 3,185 kes baharu HIV dilaporkan tahun lalu, sedikit menurun berbanding 3,222 kes pada 2023.
“Penurunan ini menunjukkan keberkesanan dasar kesihatan awam yang dilaksanakan secara berterusan sejak 2002,” katanya dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen semalam, lapor Berita Harian.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan jangkitan melalui hubungan homoseksual dan biseksual mencatatkan sedikit peningkatan dengan 2,037 kes pada 2024, berbanding 1,995 kes pada tahun sebelumnya, iaitu peningkatan sekitar dua peratus.
Dr Dzulkefly menjawab soalan Zulkifli Ismail (PN–Jasin) yang meminta statistik terkini pesakit HIV dalam kalangan golongan LGBTQ serta mereka yang dijangkiti akibat penyalahgunaan dadah.
Menurutnya, jangkitan HIV baharu akibat perkongsian jarum dan alat suntikan tercemar menunjukkan penurunan drastik sejak pelaksanaan Program Pengurangan Mudrat (Harm Reduction Programme) pada 2005/2006.
“Kes jangkitan melalui suntikan dadah menurun daripada 66 peratus (4,038 kes) pada 2005 kepada hanya 2.7 peratus (87 kes) pada 2023, dan seterusnya 2.4 peratus (77 kes) pada 2024,” jelasnya.







