KUALA LUMPUR, 11 NOV: Siemens Malaysia memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) sempena Sidang Kemuncak Selangor Techsphere 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), bagi menyokong pelaksanaan inisiatif 3,000 kilang pintar di seluruh negara.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Siemens Malaysia Tindaro Danze berkata kerjasama itu bertujuan mempercepat pelaksanaan konsep Kilang Pintar serta meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan sejajar dengan aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.

“Menerusi MoU ini, Siemens dan FMM akan melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk program latihan dan penilaian kesediaan kilang pintar.
“Selain itu, kedua-dua pihak turut menganjurkan acara kolaboratif industri bagi menyokong penggunaan teknologi digital dalam kalangan pengilang di seluruh negara,” katanya kepada pemberita di sidang kemuncak berkenaan hari ini.
Danze menambah bahawa penyertaan Siemens dalam sidang kemuncak berkenaan mencerminkan iltizam berterusan syarikat dalam memperkasakan sektor pembuatan Malaysia.
Sebagai penaja, Siemens mempersembahkan pameran imersif berasaskan empat tonggak transformasi industri iaitu:
Teknologi Maklumat (IT) dan Teknologi Operasi (OT)
Kecerdasan Buatan (AI)
Kembar Digital
Ekosistem Rakan Kongsi
“Melalui pameran ini, Siemens menonjolkan bagaimana integrasi IT dan OT dapat memperkukuh kawalan operasi, sementara penggunaan AI dan Kembar Digital membolehkan industri meningkatkan automasi, penyelenggaraan ramalan serta simulasi proses pengeluaran secara maya untuk penjimatan masa dan kos,” jelas beliau.

Selangor mencipta sejarah sebagai Kerajaan Negeri pertama di Malaysia menganjurkan acara teknologi bertaraf antarabangsa dengan sokongan rasmi Hannover Messe, bertujuan memperkukuh kedudukan Selangor sebagai hab teknologi dan bakat utama di Asia Tenggara.
Idea penganjuran tercetus selepas lawatan Dato’ Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari ke Hannover Messe, Jerman pada April tahun lalu.
Lawatan itu membuka peluang kerjasama antara kerajaan Selangor dan pemain industri global, termasuk pemeteraian MoU dengan syarikat teknologi Jerman seperti Mendix dan KNX bagi membangunkan modul Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta program pensijilan profesional untuk memperkukuh latihan dan inovasi di negeri ini.






