SHAH ALAM, NOV 11: Landskap politik Malaysia kini menunjukkan tahap kestabilan yang semakin kukuh selepas melalui tempoh ketidaktentuan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun 2018 kata Dato' Menteri Besar.
Dato' Seri Amirudin Shari berkata pengalaman pergolakan politik ketika itu menjadi pengajaran penting kepada semua pihak tidak kira parti politik mahupun kepimpinan negara untuk membentuk kerajaan yang lebih besar, kuat dan stabil.

“Selepas 2018, kita menyaksikan kerajaan hanya mampu bertahan antara 12 hingga 18 bulan.
”Namun sejak terbentuknya Kerajaan Perpaduan selepas PRU15, kestabilan mula kembali dan kini sudah hampir tiga tahun pentadbiran berjalan lancar,” katanya ketika Seminar Pelaburan Utama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) hari ini.
Beliau menegaskan bahawa formula perpaduan yang diterajui Perdana Menteri merupakan asas penting kepada pentadbiran berkesan, yang bukan sahaja mengekalkan kestabilan politik, malah membolehkan pelaksanaan dasar yang lebih berkesan.
“Apabila kerajaan kuat dan stabil, dasar yang diperkenalkan dapat dilaksana dengan lebih tersusun.
“Contohnya, pelaksanaan subsidi bersasar seperti inisiatif diesel berjalan dengan baik walaupun berdepan cabaran awal,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa politik Malaysia kini menuju kematangan, dengan semua pihak semakin bersedia untuk bekerjasama merentas parti dan wilayah demi kepentingan rakyat.
“Ini bukan sekadar misi politik pemimpin tertentu, tetapi misi nasional untuk Malaysia.
”Kekuatan sebenar terletak pada keupayaan kita bergabung dan mengekalkan kestabilan demi masa depan negara,” katanya.







