SHAH ALAM, NOV 11: Kerjasama strategik antara negeri dan wilayah dalam Lembah Klang serta kawasan sekitarnya penting bagi memastikan pembangunan negara lebih seimbang dan berdaya saing, selaras dengan hasrat membentuk metropolis Kuala Lumpur yang mampan dan inklusif.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata gabungan kekuatan setiap wilayah mampu memperkukuh daya saing ekonomi negara, khususnya dalam sektor perkhidmatan, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta industri berteknologi tinggi.
“Jika setiap negeri bergerak secara tersendiri, kita hanya membina kapasiti kecil. Tetapi apabila digabungkan sebagai satu pakej pembangunan serantau, semua wilayah dapat memainkan peranan masing-masing mengikut kekuatan dan keunikan sektor,” katanya ketika disoal di Seminar Pelaburan Utama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) hari ini.

Beliau menjelaskan, sektor perkhidmatan kini menyumbang sekitar 60 peratus kepada ekonomi Selangor, manakala selebihnya datang daripada sektor pembuatan dan industri berkaitan.
Gabungan kekuatan ini, katanya, boleh dilengkapi dengan kelebihan Kuala Lumpur dalam bidang kewangan dan pentadbiran, serta Negeri Sembilan dan Melaka yang menawarkan keluasan tanah bagi pelaburan baharu.
“Kerjasama rentas negeri bukan sekadar perkongsian sumber, tetapi juga pemindahan pengalaman dan kecekapan.
Contohnya, Selangor telah melaksanakan inisiatif Speed Selangor yang mempercepatkan proses kelulusan projek daripada tiga bulan kepada hanya satu bulan. Ini adalah model yang boleh dikongsi bersama negeri lain,” katanya.
Tambahnya lagi, pendekatan bersepadu ini bukan sahaja mampu mengimbangi pembangunan antara bandar dan luar bandar, tetapi juga menjadikan wilayah Lembah Klang–Selatan sebagai hab ekonomi serantau yang lebih tersusun, cekap dan berdaya saing.




