SHAH ALAM, 11 NOV: Kerajaan berjaya mengurangkan pembiayaan hutang baharu negara kepada RM77 bilion berbanding RM100 bilion pada 2022, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menegaskan pengurangan itu tidak menjejaskan pelaburan asas negara termasuk projek infrastruktur kritikal seperti tebatan banjir di Kelantan dan Terengganu, selain keperluan penting dalam sektor kesihatan dan pendidikan.
“Hutang baharu kerajaan menurun daripada RM100 bilion pada 2022 kepada RM77 bilion. Masih perlu berhutang kerana kita tidak mahu mengabaikan program infrastruktur asas seperti tebatan banjir, kesihatan dan pendidikan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH–Sri Gading) mengenai ukuran keberkesanan pelaksanaan Dasar Ekonomi Madani selepas 18 hingga 24 bulan.
Anwar turut memaklumkan pelaburan negara pada 2024 mencecah RM384.2 bilion, selain peningkatan 11 anak tangga dalam Kedudukan Daya Saing Dunia (WCR) 2025, pencapaian terbaik Malaysia dalam tempoh sedekad.




