SHAH ALAM, 11 NOV: Skuad bawah 16 (B-16) tahun negara mengalami kekalahan besar apabila tewas 0-11 kepada pasukan B-16 Croatia dalam aksi persahabatan siri jelajah perlawanan antarabangsa.
Berdasarkan kenyataan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini, skuad kendalian Javier Jorda Ribera menjalani kem latihan fasa dua menerusi penyertaan dalam siri jelajah perlawanan antarabangsa dari 27 Oktober hingga 10 November, lapor Berita Harian.
Skuad itu kemudian akan kembali menjalani kem latihan pusat fasa tiga di Akademi Mokhtar Dahari, Gambang dari 10 hingga 17 November ini sebelum berlepas ke Hanoi, Vietnam bagi menghadapi kempen kelayakan Piala Asia B-17 2026 yang akan berlangsung dari 20 hingga 30 November.
Pengurus pasukan B-16 kebangsan, Datuk Dollah Salleh menjelaskan pihaknya menunggu laporan penuh daripada barisan kejurulatihan susulan kekalahan besar kepada Croatia itu yang turut menjadi sebahagian daripada persiapan menghadapi kelayakan Piala Asia.
Dollah yang juga bekas pemain dan pengendali skuad kebangsaan memaklumkan pihaknya hanya boleh memberikan komen lanjut selepas meneliti laporan penuh daripada pasukan kejurulatihan.
"Saya baru sahaja bercakap dengan pasukan kejurulatihan dan sudah meminta laporan penuh mengenai apa yang berlaku dalam kekalahan besar itu. Kami hanya boleh memberi komen selepas mengetahui puncanya.
"Pasukan itu sebelum ini menyertai FIFA Youth Series di Zurich awal tahun ini dan beraksi dengan baik, menamatkan saingan di tempat kelima. Ia satu keputusan yang bagus memandangkan kami berdepan pasukan kuat.
"Saya belum tahu apa yang berlaku di Croatia, tetapi saya yakin kami boleh bangkit daripada kekalahan ini dan beraksi dengan baik dalam pusingan kelayakan Piala Asia," katanya.
Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama tuan rumah Vietnam, Singapura, Hong Kong, Kepulauan Mariana Utara, dan Macau dengan skuad negara akan membuka kempen kelayakan menentang Kepulauan Mariana Utara pada 22 November ini.




