SHAH ALAM, 11 NOV: Misteri kehilangan jutawan kripto Rusia dan isterinya terungkai selepas mayat mereka ditemui dalam keadaan dikerat kepada beberapa bahagian dan ditanam di padang pasir berhampiran Dubai, kelmarin.
Mangsa, Roman Novak, 38, dan isterinya, Anna, dilaporkan hilang awal Oktober lalu selepas memandu ke kawasan pergunungan Hatta, bersempadan dengan Oman, bagi menemui seorang “pelabur tidak dikenali”.
Pasangan tersebut yang berpangkalan di Dubai terkenal di media sosial dengan gaya hidup mewah, memiliki kereta sport, jet peribadi dan koleksi barangan eksklusif.
Namun, siasatan mendapati mereka menjadi sasaran pemeras ugut berkaitan mata wang kripto, lapor pihak berkuasa.
Sebelum hilang, Novak baru sahaja membeli kereta British edisi terhad AC Cobra, yang bernilai tinggi.
Pada hari kejadian, pasangan itu dihantar oleh pemandu peribadi mereka ke tasik Hatta sebelum menaiki kenderaan lain untuk bertemu pelabur berkenaan.
“Ketika itu, Novak sempat menghantar mesej kepada kenalannya, mengatakan dia ‘terperangkap di kawasan pergunungan berhampiran sempadan Oman’ dan terdesak memerlukan £152,000 (kira-kira RM900,000).
“Selepas itu, hubungan dengan pasangan muda itu terputus,” kata Svetlana Petrenko daripada Jawatankuasa Penyiasatan Rusia.
Siasatan mendapati telefon bimbit pasangan itu dikesan aktif selama dua hari di Hatta, sebelum isyarat berpindah ke Oman dan Cape Town, dipercayai sebagai usaha suspek untuk mengelirukan penyiasat.
Menurut laporan Daily Mail, keluarga pasangan glamor itu di Rusia membuat laporan kehilangan sebelum polis menemui mayat mereka yang dikerat dan ditanam di padang pasir UAE.
Pihak berkuasa kini menahan tiga suspek warga Rusia termasuk dua bekas tentera dan seorang bekas penyiasat pembunuhan yang dipercayai terlibat dalam kes penculikan dan pembunuhan kejam itu.
Ketiga-tiga mereka dikenal pasti sebagai Konstantin Shakht, 53, bekas penyiasat jenayah yang kemudian menjadi penyeludup dadah; Yury Sharypov, 46, dan Vladimir Dalekin, 45, yang juga bekas tentera Rusia.
Mereka dipercayai menyamar sebagai “pelabur” sebelum menculik pasangan itu dan memaksa mereka menyerahkan kata laluan dompet kripto milik Novak.




