ad

Zii Jia tarik diri Terbuka Australia

11 Nov 2025, 2:28 AM
Zii Jia tarik diri Terbuka Australia

SHAH ALAM, 11 NOV: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia tidak akan mempertahankan kejuaraan Terbuka Australia yang dimenanginya tahun lalu.

Zii Jia sah menarik diri daripada kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 500 itu yang dijadual berlangsung dari 18 hingga 23 November ini.

Tahun lalu, Zii Jia muncul juara selepas menewaskan pemain Jepun, Kodai Naraoka di pentas final, lapor Berita Harian.

Pemain ranking ke-63 dunia itu sebelum ini turut menarik diri daripada Masters Kumamoto di Jepun yang membuka tirai hari ini.

Penarikan diri terbaru ini menguatkan lagi tanda tanya tentang tahap kecederaan belakang dialami pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu, yang sebelum ini memaksanya mengetepikan tiga siri kejohanan Eropah - Terbuka Denmark, Terbuka Perancis dan Terbuka Artik di Finland.

Masalah kecederaan Zii Jia bermula sejak Jelajah Dunia Akhir, Disember tahun lalu, apabila mengalami kecederaan buku lali.

Dia sempat kembali beraksi pada Mac lalu di Masters Orleans dan Seluruh England, namun kemudian memilih berehat panjang bagi memulihkan kecederaan sepenuhnya.

Zii Jia membuat kemunculan semula pada Kejohanan Dunia di Paris Ogos lalu tetapi tersingkir seawal pusingan pertama.

Situasi sama berulang di Masters Hong Kong, sebelum dia menarik diri ketika berdepan pemain Taiwan, Lin Chun Yi dalam aksi pembukaan Masters China.

Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan pihak pengurusan Zii Jia mengenai tahap kecederaan yang membelenggunya.

Sementara itu, pemain perseorangan wanita profesional negara, Goh Jin Wei turut menarik diri daripada Terbuka Australia.