SHAH ALAM, 11 NOV: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi tumpuan penuh terhadap pelaksanaan arahan mahkamah berhubung kes kehilangan paderi Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat, termasuk membuka semula siasatan insiden berkenaan.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata fokus ketika ini adalah keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menggariskan dua arahan penting kepada polis, selain beliau turut menerima taklimat daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Jumaat lalu, saya bertemu pasukan AGC yang menguruskan kes ini. Saya perlu mendapatkan taklimat untuk memahami sepenuhnya kronologi peristiwa tersebut.
“Tumpuan saya kini adalah kepada keputusan mahkamah yang menghendaki polis melakukan dua perkara. Yang pertama, kembali menyiasat… dan kedua mengemukakan (keberadaan) Pastor Koh. Itu dua perkara menjadi fokus,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Hari Antipemerdagangan Orang Sedunia (WDAT) di Putrajaya, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pertemuannya bersama pegawai AGC susulan keputusan mahkamah yang mengarahkan kerajaan membayar ganti rugi terhadap kes kehilangan Amri dan Koh.
Amri dilapor hilang pada 24 November 2016 manakala Koh pada 13 Februari 2017.
Pada 5 November lalu, mahkamah memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi keseluruhan RM3,264,457.52 berserta kos dan faedah kepada isteri Amri, Norhayati Mohd Ariffin. Mahkamah turut mengarahkan kerajaan membayar lebih RM37 juta kepada isteri Koh, Susanna Liew.
Keputusan itu dibuat selepas mahkamah membenarkan saman difailkan kedua-dua wanita terbabit terhadap kerajaan dan polis berhubung kehilangan suami masing-masing.
Sementara itu, mengulas laporan sebuah portal mendakwa bekas suami Indira Gandhi, Muhammad Riduan Abdullah, masih berada di Malaysia dan menerima manfaat skim bantuan kerajaan seperti BUDI MADANI (BUDI95) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), beliau berkata polis akan mengambil tindakan sewajarnya.
“Saya akan terus memastikan pihak polis mengambil langkah sewajarnya. Setakat ini saya belum menerima sebarang taklimat berhubung perkara itu dan akan meminta polis mempersiapkan maklumat bagi menjelaskan isu tersebut kepada rakyat,” katanya.




