SHAH ALAM, 13 NOV: Pemberian subsidi kepada pengusaha taman asuhan kanak-kanak (taska) mampu mencegah kejadian tidak diingini terhadap anak-anak ketika ibu bapa keluar bekerja.
Presiden Persatuan Taska, Tadika dan Pusat Jagaan Selangor, Mahanom Sabri berkata tanpa subsidi, banyak taska berisiko menutup operasi akibat beban kewangan yang semakin meningkat.
Katanya, keadaan itu memaksa ibu bapa menghantar anak kepada pengasuh tidak bertauliah semata-mata bagi memastikan anak terjaga.
“Ini boleh membahayakan nyawa kanak-kanak. Contohnya, ada yang menghantar anak kepada pengasuh di rumah atau jiran yang tiada latihan dan pengalaman.
“Mereka jaga ramai kanak-kanak dalam satu masa hingga sukar beri tumpuan. Tambahan pula, ramai tidak berdaftar dengan agensi berwajib,” katanya kepada Media Selangor.
Menurutnya, situasi itu juga memberi kesan terhadap perkembangan kanak-kanak terutama bayi kerana pengasuh di rumah tidak mempunyai aktiviti atau silibus seperti di taska berdaftar.
“Kalau di rumah, tiada aktiviti berstruktur. Sedangkan di taska lengkap dengan menu makanan sihat, jadual aktiviti dan program pembelajaran,” jelasnya.
Mahanom menambah, keselamatan di taska berdaftar lebih terjamin kerana pengusaha tertakluk kepada peraturan kerajaan serta sentiasa memantau pekerja.
“Setiap pengusaha perlu ambil pekerja terlatih dan membayar kira-kira RM900 bagi kursus wajib di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Kursus ini meliputi semua aspek penjagaan kanak-kanak.
“Sebab itu pentingnya subsidi. Pengusaha juga perlu hantar pekerja ke bengkel dan seminar untuk tambah kemahiran,” katanya.




