ad

Tanpa subsidi, banyak taska di Selangor terpaksa tutup, ibu berhenti kerja

13 Nov 2025, 3:00 AM
Tanpa subsidi, banyak taska di Selangor terpaksa tutup, ibu berhenti kerja

SHAH ALAM, 13 NOV: Pengusaha taman asuhan kanak-kanak (taska) merayu kerajaan menyalurkan bantuan subsidi demi memastikan operasi perniagaan terus bertahan, sekali gus membantu ibu bapa bekerja.

Presiden Persatuan Taska, Tadika dan Pusat Jagaan Selangor, Mahanom Basri, berkata tanpa bantuan tersebut, ramai pengusaha berdepan tekanan kewangan berikutan peningkatan kos penggajian terutama bagi penjagaan bayi berusia bawah setahun.

Beliau menjelaskan, ketiadaan subsidi juga boleh memaksa pengusaha menaikkan yuran bulanan penjagaan kanak-kanak, sekali gus membebankan ibu bapa.

“Bantuan subsidi ini, sama ada daripada kerajaan pusat atau negeri amat penting walaupun hanya meringankan beban sementara. Sekurang-kurangnya pengusaha dapat menampung bayaran gaji, utiliti dan makanan harian,” katanya kepada Media Selangor.

Menurutnya, kos operasi taska terus meningkat saban tahun berikutan kadar sewa bangunan yang tidak pernah turun, di samping kenaikan harga barang mentah dan keperluan harian.

“Sewa naik, makanan pun naik. Sekarang kos memang tinggi, jadi pengusaha taska perlu dibantu supaya terus bertahan,” ujarnya.

Mahanom menambah, bantuan subsidi bukan sahaja membantu pengusaha, malah menjamin kelangsungan kerjaya golongan ibu yang bekerja, sekali gus memberi impak positif terhadap ekonomi keluarga dan negara.

Katanya, ada ibu berkerjaya profesional terpaksa mengambil keputusan drastik berhenti kerja kerana bimbang aspek penjagaan anak, terutama bayi atau anak istimewa.

“Ada taska yang sudah tutup kerana tidak mampu menanggung kos bulanan. Dalam masa sama, ada ibu maklumkan mereka berhenti kerja sebab tiada tempat sesuai untuk jaga anak.

“Ini merugikan negara kerana kita kehilangan modal insan berpotensi tinggi,” katanya.

Menurutnya, subsidi kerajaan juga mampu mengekang trend pengusaha yang tidak lagi menawarkan perkhidmatan penjagaan bayi bawah setahun, situasi yang kini semakin menular di banyak kawasan.

Beliau menjelaskan, kadar nisbah penjagaan bayi 1:3 yang ditetapkan kerajaan menyebabkan pengusaha perlu menggaji lebih ramai pekerja sedangkan kadar gaji minimum kini RM1,700.

“Kalau yuran bawah RM600 atau RM700, memang tak cukup untuk bayar gaji pekerja. Sebab itu ada pengusaha enggan ambil bayi kerana penjagaan mereka sangat sensitif dan perlukan perhatian penuh.

“Tambahan pula, hanya taska swasta menyediakan jagaan bayi. Taska kerajaan seperti di bawah KEMAS dan PERMATA tidak ambil bayi langsung,” katanya.

Jelasnya, keadaan ini menyebabkan taska swasta sering dipersalahkan apabila berlaku isu melibatkan bayi, sedangkan mereka sebenarnya berdepan kekangan tenaga kerja dan kos operasi yang tinggi.

Setakat ini, lebih 1,000 taska di seluruh Selangor berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun jumlah sebenar taska yang telah menamatkan operasi masih belum dapat dikenal pasti.

Baru-baru ini, laporan media mendedahkan sektor asuhan awal kanak-kanak berdepan cabaran besar apabila 35 hingga 40 peratus pengusaha taska berdaftar di seluruh negara menghentikan perkhidmatan penjagaan bayi bawah setahun, malah ada negeri langsung tidak menyediakan perkhidmatan tersebut.