ad

MBPJ lancar Pelan Bangunan Rendah Karbon, sasar 33 peratus pengurangan karbon

10 Nov 2025, 7:17 AM
MBPJ lancar Pelan Bangunan Rendah Karbon, sasar 33 peratus pengurangan karbon

PETALING JAYA, 10 NOV: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melancarkan Pelan Tindakan Bangunan Rendah Karbon 2025-2035, selaras dengan matlamat mencapai status Bandaraya Rendah Karbon menjelang lima tahun akan datang.

Datuk Bandar Mohamad Zahri Samingon berkata pelan ini juga menjadi wadah transformasi bandar hijau, khususnya dalam mempertingkat kecekapan tenaga bangunan melalui pematuhan piawaian dan pendekatan sistematik.

Jelasnya, pelaksanaan inisiatif ini juga mampu mengurangkan pelepasan karbon sekali gus mengukuhkan ketahanan bandar terhadap perubahan iklim yang semakin mencabar.

“Majlis kekal komited memacu transformasi hijau melalui pelbagai inisiatif holistik dan berimpak tinggi, demi memastikan Petaling Jaya muncul sebagai peneraju bandar rendah karbon yang mampan, progresif dan berdaya saing.

“Kejayaan ini hanya dapat dicapai melalui kolaborasi erat antara agensi kerajaan, rakan strategik, serta sokongan padu komuniti setempat yang menjadi nadi pembangunan bandar raya ini,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu, pelan berkenaan diumumkan dalam majlis pelancaran Pelan Tindakan Bangunan Rendah Karbon Petaling Jaya dan seminar Garis Panduan Pemakaian MS:1525 serta penggunaan Sistem Building Energy Data Online Monitoring System hari ini.

Mohamad Zahri berkata pihaknya menyokong aspirasi Kerajaan Persekutuan untuk mengurangkan intensiti karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030.

“Dalam konteks tempatan, MBPJ turut menyasarkan pengurangan karbon sebanyak 33 peratus di Petaling Jaya dalam tempoh sama, selaras dengan PJ Climate Action Plan, sebagai rangka ke arah pembangunan lestari,” katanya.

Minggu lalu, Dato’ Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata dasar dan inisiatif yang dilaksanakan pentadbiran negeri menumpukan pada prinsip matlamat pembangunan mampan (SDG) bagi memastikan kemajuan ekonomi seiring kelestarian dan kesejahteraan rakyat.