ad

‘Transporter’ Malaysia ditangkap di Thailand, 75kg ketamin ditemui dalam kereta

10 Nov 2025, 4:02 AM
‘Transporter’ Malaysia ditangkap di Thailand, 75kg ketamin ditemui dalam kereta

KUALA LUMPUR, 10 NOV: Seorang lelaki warga Malaysia ditahan di selatan Thailand selepas pihak berkuasa negara itu menemui 75 kilogram (kg) ketamin dianggarkan bernilai RM9 juta dalam kereta dipandunya, Khamis lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata siasatan awal mendapati suspek berperanan sebagai ‘transporter’ bagi sindiket pengedaran dadah rentas sempadan, lapor Berita Harian.

“Suspek dipercayai terlibat dengan rangkaian pengedaran dadah di Malaysia dan Thailand serta berperanan menghantar bekalan berkenaan,” katanya.

Menurut beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dimaklumkan mengenai tangkapan itu oleh Subdivisyen 3, Biro Pembanterasan Narkotik Polis Thailand (PNSB) melalui saluran rasmi pegawai perhubungan JSJN.

“Tangkapan dibuat pada 6 November di Wilayah Chumphon, selepas pihak berkuasa menemui dadah disorok dalam kenderaan dipandu suspek,” katanya.

Suspek berusia 25 tahun dari Sungai Petani, Kedah, itu mempunyai empat rekod jenayah lampau.

Media tempatan Thailand, Siam Focus Time, melaporkan suspek ditahan hasil operasi bersama PNSB dan Polis Wilayah Chumphon di sekatan jalan Mukim Hong Charoen, daerah Tha Sae.

Pemeriksaan terhadap kereta Nissan berwarna hitam bernombor pendaftaran Malaysia menggunakan mesin X-ray menemukan ruang rahsia di bahagian belakang kenderaan.

Hasil pemeriksaan lanjut menemukan bungkusan plastik vakum mengandungi ketamin seberat 75kg yang disorok rapi, dengan nilai dianggarkan lebih 70 juta baht (kira-kira RM9 juta).

Suspek mendakwa diupah RM5,000 oleh individu tidak dikenali untuk memandu kenderaan dari Bangkok ke Malaysia, namun menafikan mengetahui terdapat bahan terlarang di dalamnya.

Dia kini ditahan atas kesalahan memiliki dan menjual bahan psikotropik Kategori 2 (ketamin) tanpa kebenaran bagi tujuan komersial.