ad

Raja Muda Selangor rasmi PDK Damansara Damia bantu autisme

9 Nov 2025, 2:21 PM
Raja Muda Selangor rasmi PDK Damansara Damia bantu autisme
Raja Muda Selangor rasmi PDK Damansara Damia bantu autisme

PETALING JAYA, 9 NOV: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli menyempurnakan Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Damansara Damia, Seksyen 8, di sini hari ini.

Pengerusi PDK Damansara Damia, Izhar Moslim dalam ucapannya menzahirkan penghargaan atas kesudian Baginda Raja Muda merasmikan pusat autisme berkenaan.

Berkongsi kisah penubuhan pusat itu, Izhar berkata idea menubuhkan PDK tersebut tercetus ketika pandemik 2020, selepas anaknya, Damia Danielle, didiagnosis autisme pada usia tiga tahun.

“Kami berusaha memberikan pelbagai terapi untuk membantu anak kami, namun menyedari kos rawatan agak tinggi. Kemudian saya mengetahui mengenai inisiatif PDK di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), yang membolehkan komuniti menubuhkan pusat sendiri dengan bantuan geran pengurusan.

“Saya segera membentuk pasukan dan mengumpul dana bagi menubuhkan pusat intervensi awal di bawah nama PDK Damansara Damia,” katanya.

Ditubuhkan pada November tahun lalu, PDK Damansara Damia memberi tumpuan kepada intervensi awal untuk kanak-kanak berusia tujuh tahun ke bawah daripada keluarga berpendapatan rendah.

Pada awal operasi, pusat itu menempatkan hanya 20 kanak-kanak dengan tiga guru, namun kini meningkat kepada 40 kanak-kanak dan 10 guru. Bayaran bulanan yang dikenakan hanya RM100 bagi minimum 10 jam terapi seminggu.

PDK Damansara Damia turut mengembangkan kemudahan sedia ada dengan menambah ruang kepada 4,000 kaki persegi, bagi menampung lebih ramai kanak-kanak yang memerlukan bantuan intervensi awal.

Sementara itu, seorang bapa, Hairuzikri Shah Hairuddin, 36, berkata beliau mengetahui tentang pusat berkenaan menerusi Facebook sebelum mendaftar anaknya, Nur Sofia, 4, yang didiagnosis autisme dan mengalami kelewatan pertuturan.

“Walaupun tinggal di Dengkil dan perlu ke Kota Damansara, ia tidak menjadi masalah kerana kelas hanya tiga kali seminggu. Alhamdulillah, kami sudah mula nampak perkembangan positif,” katanya yang bekerja sebagai jurutera.

Seorang lagi ibu bapa, Mohd Nurul Hafizal Zainal, 43, pula berkata kebanyakan pusat terapi yang pernah ditinjau mengenakan yuran tinggi sehingga mencecah ribuan ringgit sebulan.

“Syukur dapat tempat di PDK Damansara Damia yang berhampiran rumah kami. Anak saya menunjukkan perkembangan baik sejak mula dihantar tahun lalu. Harap lebih banyak pusat seperti ini diwujudkan kerana tidak semua mampu hantar anak ke pusat swasta,” katanya.