KUALA LUMPUR, 9 NOV: Polis menahan seorang lelaki disyaki menceroboh kediaman seorang wanita dan mencederakannya dalam kejadian di Taman Sri Sentosa, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, suspek berusia 30-an ditahan di kawasan sama sekitar jam 7.12 malam Sabtu selepas laporan dibuat oleh mangsa, lapor Sinar Harian.
"Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa berusia 20 tahun sedang menyidai pakaian sebelum dikejutkan dengan kehadiran lelaki tidak berpakaian yang memecah masuk rumahnya. Mangsa cedera pada paha, bibir dan tangan selepas bergelut ketika cuba melarikan diri.
“Suspek turut mengugut membunuh mangsa dan menuntut wang sebelum melarikan diri selepas gagal mendapatkan kata laluan telefon bimbit mangsa,” katanya.
Hoo berkata, pemeriksaan mendapati suspek mempunyai 12 rekod jenayah dan tujuh rekod dadah serta positif ganja.
Polis turut merampas tiga telefon bimbit termasuk milik mangsa, sebuah komputer riba, beg galas, sehelai baju, seluar dan selipar.
Siasatan awal mendapati lelaki itu mengaku terbabit dalam beberapa kes samun sebelum ini di bawah Seksyen 394 dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan, selain mendakwa hasil samun digunakan untuk perbelanjaan harian.
Suspek kini direman lima hari hingga 13 November bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan ketika melakukan samun.




