KUALA LUMPUR, 9 NOV: Bermula dengan jualan teh RM1, seorang pelajar Universiti Multimedia (MMU) melakar sejarah selepas memperkenalkan satu inovasi tempatan iaitu teh masala steril dalam tin halal pertama di dunia.
Pengasas Leafhaus Gisnervern Arikrishnan, 31, tidak menyangka inisiatif kecilnya untuk menampung kos pengajian akhirnya mengubah cara rakyat Malaysia menikmati minuman berperisa rempah kegemaran mereka.
Gisnervern memulakan perniagaan tersebut, tidak lama selepas pandemik Covid-19 dengan menjual secawan teh masala pada harga RM1 kepada para pelajar MMU.
Beliau kemudiannya menjalankan penyelidikan dan pembangunan yang mengambil masa selama dua tahun sejak 2023 yang membawa kepada pelancaran teh masala steril dalam tin halal pada Ogos 2025.
“Saya mula dengan menjual teh panas pada harga satu ringgit kepada pelajar di universiti saya, sebelum menyedari orang ramai lebih menggemari minuman sejuk di bawah terik matahari. Jadi, saya tambah ketulan ais dan dari situlah tercetusnya idea untuk menghasilkan teh masala dalam tin,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama baru-baru ini.
Gisnervern yang merupakan pelajar Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di MMU Cyberjaya, turut memiliki Ijazah Sarjana Muda Kewangan di universiti yang sama. Beliau memulakan perniagaan itu sambil menyeimbangkan antara kuliah dan cabaran kewangan, hasilnya digunakan untuk menampung pengajiannya.
“Masala dan susu tidak mudah sebati, terutamanya dalam proses pengetinan. Mendapatkan formula yang tepat memerlukan kesabaran, percubaan berulang kali dan banyak malam tanpa tidur,” katanya mengenang perjalanan dua tahun bagi menyempurnakan resipi minuman itu.
Sepanjang fasa penyelidikan dan pembangunan, Gisnervern menguji 16 formula minuman berbeza sebelum memuktamadkan rangkaian produk Leafhaus yang turut merangkumi Teh Masala dan Susu Kunyit dalam Tin. Setiap variasi dirumus bagi mengekalkan keseimbangan antara rasa, kesihatan dan jangka hayat produk sambil mengekalkan warisan minuman tradisional Malaysia.
Dihasilkan sepenuhnya di Malaysia, minuman klasik yang digemari ramai itu menggabungkan rempah masala tradisional dengan susu steril yang menawarkan kandungan berkhasiat.
Setiap tin 248 mililiter (ml) yang berharga RM5 mengandungi 7.4 gram gula bagi setiap 100 ml dan 49 kalori, mencerminkan prinsipnya bahawa “kesihatan adalah kekayaan sebenar.”
Bagi Gisnervern, sijil halal lebih daripada sekadar pencapaian perniagaan.
“Halal membolehkan saya berkongsi minuman ini dengan semua orang, tanpa mengira bangsa atau agama. Prosesnya sukar, tetapi ia memberi saya keyakinan bahawa produk kami memenuhi piawaian antarabangsa,” katanya.
Populariti jenama itu berkembang pantas dengan lebih 3,000 tin terjual dalam masa dua minggu melalui TikTok Shop dan kampus MMU - semuanya tanpa pemasaran menggunakan pempengaruh.
Seorang pembeli dari United Kingdom yang mencuba minuman itu, membuka babak baharu untuk Leafhaus selepas dia memesan empat karton dan menjualnya di sebuah kedai serbaneka di Britain. Dua kontena sedang disiapkan untuk dieksport ke Eropah dengan perancangan perluasan pasaran ke Timur Tengah dan Kanada tahun depan.
Selain teh masala, Leafhaus juga menawarkan Susu Kunyit dalam Tin yang diinspirasikan daripada perkongsian pelakon Datuk Rosyam Nor mengenai khasiat kunyit dalam pemulihan semula jadi. Inovasi selanjutnya usahawan ini ialah teh masala berasaskan matcha - ketika ini dalam proses pengeluaran.
“Saya ingin memperkenalkan warisan Malaysia ke seluruh dunia. Tan Sri Tony Fernandes membuatkan impian kita boleh ‘terbang’ - saya mahu rasa kita ‘terbang’ juga,” katanya yang sedang berbincang dengan AirAsia untuk menawarkan minuman itu dalam penerbangan mereka.
Dilahirkan dan dibesarkan di Labu, Seremban, Gisnervern anak sulung dua beradik itu menzahirkan penghargaan kepada ibu bapanya, terutama ibunya kerana mendidik beliau tentang disiplin, rendah hati dan keimanan.
Bekas penyanyi lagu keagamaan peringkat nasional (Devaram) dan pengamal yoga, Gisnervern pernah mempunyai berat badan 138 kilogram (kg) namun berjaya menurunkannya kepada 62 kg dalam tempoh enam bulan melalui rutin kecergasan semula jadi - satu transformasi yang menjadi inspirasi untuknya menghasilkan rangkaian produk berteraskan kesihatan.
Kini beliau meneroka kerjasama dengan rangkaian restoran BananaBro untuk menawarkan teh masala halal dan susu kunyit kepada pelanggan di seluruh Malaysia.
Sebagai satu usaha untuk menyumbang kembali, Gisnervern merancang untuk menyerahkan gerai teh asalnya di MMU kepada pelajar yang memerlukan bantuan kewangan - beliau sendiri akan menyediakan gerai tersebut, penghantaran pertama bagi produk Leafhaus dan membenarkan pelajar mengambil keuntungan untuk membiayai pengajian.
“Ia bukan sekadar peniagaan. Ia adalah satu misi untuk memberi inspirasi kepada anak muda Malaysia agar berani bermimpi besar, bermula kecil dan kekal jujur dalam perniagaan,” katanya.
Dengan sasaran menjual 10,000 karton menjelang hujung tahun ini, perjalanan Gisnervern dari kampus ke kejayaan komersial membuktikan bahawa inovasi tidak semestinya bermula di makmal - kadangkala bermula dengan secawan teh sahaja.




