ad

Petanque Asia: Malaysia tamat kempen dengan perak triples campuran junior

9 Nov 2025, 7:09 AM
Petanque Asia: Malaysia tamat kempen dengan perak triples campuran junior

KUALA LUMPUR, 9 NOV: Malaysia menutup tirai Kejohanan Petanque Asia kali keenam dengan merangkul pingat perak dalam acara triples campuran junior di Arena Petanque Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Pasukan Malaysia A yang terdiri daripada Muhammad Aidil Zakri Junaidi, Muhammad Arsyad Muhammad Tajuddin, Nur Erissya Najwa Mohd Helmey dan Siti Noor Ellyshatul Balqish Suhaimi tewas kepada Thailand A yang dibarisi Suekam Panadda, Nilnangngam Thanyalak, Saharat Aramrod dan Titthiwarakorn dengan keputusan 13-2 pada aksi final.

Muhammad Arsyad mengakui prestasi hari ini kurang memberangsangkan berbanding kejayaan menewaskan Taiwan 13-9 pada aksi separuh akhir semalam.

“Memang kecewa tidak dapat menang kerana kami hanya selangkah lagi untuk meraih emas. Kami telah cuba yang terbaik, namun apa yang dirancang tidak menjadi dan pihak lawan juga bermain dengan sangat baik,” katanya kepada pemberita.

Walaupun gagal membawa pulang emas, jurulatih pasukan junior kebangsaan, Mohamad Nuzul Azwan Ahmad Temizi, berkata pencapaian anak buahnya tetap membanggakan memandangkan skuad itu baharu ditubuhkan pada Julai lepas.

“Persiapan hanya mengambil masa dua bulan dan latihan penuh tidak dapat dijalankan, kebanyakannya dilakukan secara dalam talian. Malah, pasukan Thailand mempunyai seorang pemain yang merupakan juara dunia remaja (Saharat) dan mempunyai banyak pengalaman antarabangsa,” katanya.

Selain perak dalam acara triples bercampur junior, Malaysia turut meraih dua lagi perak bagi acara precision shooting wanita dan wanita junior, serta tiga gangsa dalam acara triples lelaki dan wanita, selain precision shooting lelaki pada kejohanan empat hari bermula Khamis lepas.