ad

Wabak babi Afrika ancam sumber makanan Harimau Malaya di hutan Endau Rompin

9 Nov 2025, 2:21 AM
Wabak babi Afrika ancam sumber makanan Harimau Malaya di hutan Endau Rompin

KOTA BHARU, 9 NOV: Wabak Demam Babi Afrika (ASF) dikenal pasti sebagai ancaman besar terhadap populasi babi hutan dan babi berjanggut yang menjadi sumber makanan utama Harimau Malaya di Lanskap Endau Rompin, Johor.

Penularan ASF turut memberi kesan kepada hidupan liar lain serta komuniti manusia yang tinggal berhampiran kawasan hutan berkenaan.

Penyelidik Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar (WCS) Malaysia Yugess Rao berkata virus ASF yang mula dikesan pada 2022 telah menyebabkan penurunan mendadak populasi babi hutan dan babi berjanggut.

Kajian beliau yang menggunakan lebih 300 perangkap kamera di seluruh kawasan, mencatatkan kejatuhan populasi babi yang ketara termasuk penemuan 11 bangkai babi hutan dan tujuh bangkai babi berjanggut pada 2022.

“Data kamera dari 2019 hingga 2023 menunjukkan penurunan populasi sebanyak 99.6 peratus bagi babi berjanggut dan 81.6 peratus bagi babi hutan.

"Kekurangan sumber makanan semula jadi menyebabkan Harimau Malaya mula menyesuaikan diri dengan mencari sumber makanan baharu di luar hutan termasuk menyerang ternakan lembu milik penduduk,” katanya kepada Bernama pada Persidangan Persatuan Perubatan Pemuliharaan Asia, di sini, baru-baru ini.

Yugess menjelaskan fenomena itu meningkatkan risiko konflik antara manusia dan harimau sekali gus mengakibatkan kesan ekonomi dan psikologi kepada komuniti setempat yang kehilangan ternakan serta berasa terancam.

"Bagi menangani isu berkenaan, WCS Malaysia telah melaksanakan pelbagai langkah termasuk pemantauan penyakit, penglibatan komuniti dan pembinaan kandang lembu kalis serangan harimau," katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya pelan perancangan masa depan yang merangkumi pengayaan habitat dan peningkatan ketersediaan mangsa semula jadi dilaksanakan, tertakluk kepada sumber pembiayaan mencukupi.

Menurutnya, kajian WCS pada 2024 menunjukkan tanda-tanda pemulihan apabila kelahiran baharu bagi populasi babi dan harimau mula direkodkan.

"Insiden serangan harimau terhadap manusia dan ternakan juga mencatat penurunan ketara antara 2024 hingga 2025," katanya.

Yugess menekankan kepentingan strategi pemuliharaan masa depan dilaksanakan secara menyeluruh dan bersepadu, merangkumi aspek ekologi, ekonomi dan sosial, bagi memastikan kelangsungan haiwan pemangsa itu serta keharmonian antara manusia dan alam semula jadi di Lanskap Endau Rompin.

Bulan lepas, Persidangan Persatuan Perubatan Pemuliharaan Asia (ASCM) 2025 berlangsung di Kota Bharu yang menghimpunkan kira-kira 200 pakar sains, veterinar, ahli akademik, penyelidik dan pembuat dasar dari 15 negara.

Persidangan yang julung kali diadakan di Pantai Timur itu dianjurkan bersama oleh Universiti Malaysia Kelantan, ASCM dan Wildlife and Exotic Veterinary Special Interest Group.

-- BERNAMA

TAG: populasi, ASF, Harimau Malaya, WCS