KUALA SELANGOR, 8 NOV: Kerajaan Selangor menegaskan tidak pernah meluluskan sebarang aktiviti perlombongan nadir bumi (REE).
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dasar negeri hanya memfokuskan sektor pemprosesan dan pembangunan industri hiliran bahan tersebut yang mampu meningkatkan nilai tambah kepada ekonomi Selangor.
“Selangor mempunyai polisi jelas berhubung nadir bumi. Fokus kita adalah pada sektor pemprosesan atau industri middle and downstream.
“Kita tidak mengambil terus sumber nadir bumi mentah. Sebaliknya, kita mahu memproses terlebih dahulu sebelum meneroka, kerana kita tahu wujud simpanan, termasuk di beberapa kawasan di Hulu Selangor,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu beliau merasmikan Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia peringkat negeri bertemakan Pembaharuan Semula Bandar: Agenda Perancangan Untuk Rakyat di Dataran Malawati, di sini hari ini.
Turut hadir, EXCO Kemajuan Desa Datuk Rizam Ismail, EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah dan EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim.
Pada Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan komitmen untuk mempercepat pembangunan industri REE melalui kerjasama kerajaan-kerajaan negeri bagi memantapkan ekosistem serta mempergiat aktiviti dalam rantaian nilai sektor berkenaan.
Minggu lalu, Kerajaan Negeri Sembilan mengumumkan permulaan perlombongan REE di Jelebu pada Januari 2026 sebagai projek perintis, dengan dua kawasan telah diluluskan. Industri itu dijangka menyumbang RM18 juta kepada hasil negeri bermula 2027, dengan potensi nilai keseluruhan mencecah RM30 bilion.





