KUALA SELANGOR, 8 NOV: Empat pihak berkuasa tempatan (PBT) dinobat sebagai bandar paling mampan di Selangor sempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia peringkat negeri di Dataran Malawati di sini, hari ini.
Bagi Anugerah Bandar Paling Mampan kategori perbandaran/daerah dimenangi Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS).
Manakala penerima bagi kategori bandar raya adalah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), dengan penyampaian hadiah disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dalam pada itu, Amirudin memuji sebahagian daripada PBT tersebut telah melepasi penilaian bandar pintar tahap satu yang diperkenalkan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).
“Sebahagian daripada kawasan ini telah melepasi tahap bandar pintar pada tahap satu. Kesemua PBT kita sebenarnya sudah melepasi tahap satu, malah ada yang sampai tahap dua dan tiga sebenarnya.
“Malangnya hanya Sabak Bernam masih belum capai. Itu menyebabkan Selangor belum capai negeri pintar. Tetapi di PBT lain sudah lepasi tahap ini, kerana akses dan inisiatif yang mereka lakukan,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu, Amirudin merasmikan Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia peringkat negeri yang turut dihadiri EXCO Kemajuan Desa Datuk Rizam Ismail, EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah dan EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim.
Beliau turut meluangkan masa melawat pelbagai reruai yang disediakan selain beramah mesra dengan pengunjung pada hari terakhir penganjuran program berkenaan hari ini.
Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia peringkat negeri yang bermula semalam mengangkat tema Pembaharuan Semula Bandar: Agenda Perancangan Untuk Rakyat.
Hari Perancangan Bandar Sedunia disambut di negara ini setiap 8 November sejak 1985 bagi meraikan dan menghargai profesion perancang bandar serta pihak berkepentingan dalam pembangunan.






