ad

Mohamad Sabu sedia ditukar ke kementerian lain

8 Nov 2025, 8:59 AM
Mohamad Sabu sedia ditukar ke kementerian lain
Mohamad Sabu sedia ditukar ke kementerian lain
Mohamad Sabu sedia ditukar ke kementerian lain

SHAH ALAM, 8 NOV: Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu, menyatakan kesediaannya untuk ditukarkan ke kementerian lain sekiranya berlaku rombakan Kabinet, seperti hangat diperkatakan ketika ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu berkata, sebarang keputusan berhubung penyusunan semula Kabinet merupakan hak mutlak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Mana-mana sahaja (akur jika bertukar kementerian). Itu terserah kepada Perdana Menteri. Amanah menerima sahaja.

Kita kena jaga hubungan sebab pilihan raya sudah dekat, jadi kita kena kuatkan pasukan untuk menghadapinya,” katanya, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Nasional 2025 Amanah di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor, di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, memberi bayangan bahawa rombakan Kabinet berkemungkinan berlaku dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi.

Zambry ketika berucap pada Majlis Penutup Festival Idea Putrajaya (FOI) semalam turut berharap Perdana Menteri dapat memberikan sokongan terhadap penganjuran festival tersebut pada masa akan datang, meskipun nasibnya dalam Kabinet belum diketahui.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata beliau meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Anwar dalam menentukan barisan menteri baharu yang bakal menganggotai Kabinet.

“Perdana Menteri ada sebab untuk memperkuatkan Kabinetnya dan terserah kepada beliau untuk menentukan.

Kabinet ini adalah hak Perdana Menteri, beliau boleh pilih sama ada orang politik, profesional, dalam parti atau luar parti,” katanya.

Ditanya sama ada isu rombakan itu pernah dibincangkan secara terbuka oleh Perdana Menteri, Mohamad menafikan perkara berkenaan.

“Setakat ini belum. Sama ada rombakan melibatkan keseluruhan Kabinet atau hanya beberapa kementerian tertentu, saya tidak tahu,” ujarnya.