KUALA LUMPUR: Polis menjalankan siasatan berhubung video tular di aplikasi TikTok memaparkan seorang lelaki mengeluarkan kata-kata berunsur lucah terhadap seorang wanita warga asing.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata laporan berhubung kejadian itu dibuat oleh seorang wanita warga Rusia di Balai Polis Dang Wangi, semalam.
Menurutnya, laporan dibuat kerana tindakan suspek menyebut perkataan lucah ketika bersiaran langsung di platform tersebut telah memalukan pengadu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti semua individu yang terbabit dalam video berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, video itu tular memaparkan seorang lelaki menuturkan kata-kata lucah kepada seorang wanita warga asing yang duduk di meja bersebelahan ketika dia sedang makan bersama seorang wanita lain.
Klip berkenaan mencetuskan kecaman hebat warganet di platform Threads, dengan ramai menyifatkan tindakan itu sebagai menjijikkan dan wajar dikenakan tindakan undang-undang.




