NILAI, 8 NOV: Tulang dipercayai rangka manusia ditemukan di lereng bukit Kilometer 24.5 Lebuhraya Kajang–Seremban (LEKAS) arah utara, dekat sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Nilai Supt Abdul Malik Hashim berkata laporan mengenai penemuan itu diterima pada 11.35 pagi, 2 November lalu daripada pekerja pembersihan lebuh raya yang menjumpai rangka tidak sempurna di lokasi terbabit.
“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati terdapat beberapa bahagian tulang dalam keadaan berkelompok dan dipercayai milik manusia.
“Tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai dan identiti mangsa masih belum dikenal pasti. Pemeriksaan lanjut di kawasan kejadian juga tidak menemukan unsur jenayah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, setakat ini tiada petunjuk baharu ditemukan dan semua bahan kes telah dihantar ke bahagian forensik untuk ujian makmal.
Beliau meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga, rakan atau mempunyai maklumat berkaitan tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Mantin di talian 06-7581222 atau Pegawai Penyiasat kes Insp Mohd Syafiq Azmy, 018-2247743.




