ad

"Tiada ribut, tiba-tiba air laut masuk rumah jam 5 pagi"

8 Nov 2025, 1:45 AM
"Tiada ribut, tiba-tiba air laut masuk rumah jam 5 pagi"
"Tiada ribut, tiba-tiba air laut masuk rumah jam 5 pagi"
"Tiada ribut, tiba-tiba air laut masuk rumah jam 5 pagi"
"Tiada ribut, tiba-tiba air laut masuk rumah jam 5 pagi"

SEKINCHAN, 8 NOV: “Tiada ribut, tiada hujan. Tiba-tiba air laut yang sejauh 100 meter dari rumah naik mendadak dan memasuki ruang tamu jam 5 pagi,” kata Jefri Mohd Yasin.

Pemandu lori berusia 53 tahun itu terdahulu terdengar jeritan sekumpulan anak muda di hadapan rumahnya.

“Mulanya saya buat tidak endah kerana mereka memang selalu melepak di situ. Tapi kali ini jeritan itu lain, seperti kecemasan. Saya terus buka pintu.

“Tiba-tiba air menderu masuk, dan dalam kurang 15 minit paras air mencecah lutut. Semua barang elektrik rosak, langsung tak sempat selamatkan apa-apa,” katanya.

Jefri Mohd Yasin

Jefri kini ditempatkan di Dewan Sri Sekinchan bersama empat lagi keluarga dari Kampung Sentosa.

Sementara itu, Muhamad Hafiz Amari, 33, berharap benteng yang pecah akibat ombak besar segera dibaiki bagi mengelak kejadian berulang.

“Rumah masih digenangi air, sebab itu saya terpaksa duduk di pusat pemindahan. Pagi tadi pun air naik lagi. Memang takut, cuma harap pembaikan cepat siap,” katanya.

Muhamad Hafiz Amari

Terdahulu, Ahli Dewan Negeri Sekinchan Dato’ Ng Suee Lim, memaklumkan fenomena air pasang besar di Pantai Parit 5 menyebabkan hakisan dan kerosakan serius pada benteng sekali gus mengakibatkan limpahan air laut.

Menurut beliau, sebanyak 35 keluarga terjejas manakala tanaman penduduk turut rosak akibat kemasukan air masin ke kawasan kediaman dan kebun.

Siasatan awal mendapati kelemahan reka bentuk benteng lama menyebabkan kira-kira 20 meter struktur itu pecah selepas dipukul ombak kuat.

“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kini melaksanakan kerja pembaikan segera termasuk memasang pam bagi mengurangkan limpahan air,” katanya.