SEKINCHAN, 7 NOV: Seorang warga emas tidak menyangka bunyi letupan jam 5 pagi rupa-rupanya berpunca daripada peti sejuk miliknya yang terendam selepas air laut naik mendadak akibat ban pecah di Pantai Parit 5, Kampung Sentosa, semalam.
Rohani Wanario, 83, berkata air laut melimpah masuk ke dalam rumahnya sehingga paras lutut dalam tempoh singkat.
Menurutnya, dia bukan sahaja terkejut malah ketakutan kerana bimbang terdapat arus elektrik aktif dalam air bertakung di kediamannya.
“Peti ais saya meletup sebab dimasuki air. Memang terkejut, saya suruh anak cepat-cepat bangun. Rasa macam nak pengsan, keadaan pun gelap sangat.
“Sejak semalam memang tidak boleh tidur sebab pagi tadi air naik lagi, walaupun tidak setinggi malam tadi. Memang risau sangat,” katanya ketika ditemui Media Selangor di kediamannya, hari ini.

Menetap di kawasan itu sejak puluhan tahun, Rohani yang tinggal bersama seorang anak dan seorang cucu berkata, kejadian kali ini adalah paling buruk pernah dialaminya.
“Saya harap kerja membaiki ban yang pecah itu dapat disiapkan segera. Nampak orang tengah buat kerja, tapi kalau boleh dicepatkan sebab cuaca tidak menentu. Kami pun tak tidur malam sebab takut air naik lagi,” ujarnya.
Terdahulu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan Dato’ Ng Suee Lim berkata fenomena air pasang besar menyebabkan limpahan air laut di kawasan Pantai Parit 5 sehingga mengakibatkan hakisan dan kerosakan serius pada benteng.
Katanya, sebanyak 35 keluarga terjejas manakala tanaman penduduk turut rosak akibat air masin yang memasuki kawasan kediaman dan kebun.
Siasatan awal mendapati reka bentuk benteng terdahulu menyebabkan kira-kira 20 meter struktur tersebut pecah selepas dipukul ombak kuat.
“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang menjalankan kerja-kerja pembaikan segera termasuk memasang pam air bagi mengurangkan limpahan,” katanya.






