SHAH ALAM, 7 NOV: Cubaan dua lelaki menyeludup 1.8 juta pil methamphetamine ke Malaysia berjaya digagalkan pihak berkuasa Thailand dalam serbuan di kawasan berhampiran Tak Bai, Narathiwat pada 1 November lalu.
Komander Tentera Wilayah Keempat Thailand, Leftenan Jeneral Naratip Phoyanok berkata operasi dijalankan selepas pasukan penyiasatan narkotik menerima maklumat risikan mengenai aktiviti penyimpanan dadah berhampiran sempadan Pengkalan Kubor, Tumpat.
Katanya, sepasukan anggota polis menyerbu kawasan hutan kecil di Tambon Nanak kira-kira jam 8.40 malam (waktu tempatan) dan menemui dua lelaki warga Thailand dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan menemui beberapa beg plastik hitam yang disorok di kawasan hutan, mengandungi kira-kira 1.8 juta pil methamphetamine bernilai RM14 juta.
“Kedua-dua suspek ditahan di lokasi dan dipercayai sebahagian daripada rangkaian pengedaran dadah berpangkalan di Tachilek, Myanmar,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Menurut Naratip, siasatan awal mendapati kumpulan itu menggunakan kawasan Tak Bai sebagai lokasi transit sebelum menyeludup dadah ke Malaysia menerusi lorong tikus di sempadan.
“Maklumat teknikal dan risikan polis mengesahkan kegiatan ini telah dipantau sejak beberapa minggu lalu. Semua rampasan diserahkan kepada Pusat Kawalan dan Pembanterasan Narkotik Polis Wilayah Narathiwat (NSCC) untuk siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, usaha kini diteruskan bagi mengesan rakan sindiket lain termasuk dalang utama yang dipercayai masih bebas.




