ad

Taktik ‘angkat tangan’ rentas sempadan tanpa dokumen sah dibongkar

7 Nov 2025, 8:09 AM
Taktik ‘angkat tangan’ rentas sempadan tanpa dokumen sah dibongkar
Taktik ‘angkat tangan’ rentas sempadan tanpa dokumen sah dibongkar
Taktik ‘angkat tangan’ rentas sempadan tanpa dokumen sah dibongkar
Taktik ‘angkat tangan’ rentas sempadan tanpa dokumen sah dibongkar

KOTA BHARU, 7 NOV: Taktik lama menyeberangi sempadan Malaysia–Thailand tanpa dokumen perjalanan sah dengan hanya mengangkat tangan kepada pegawai bertugas masih digunakan segelintir individu termasuk penjawat awam, kata Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.

Beliau berkata, taktik berkenaan terbongkar Selasa lalu selepas lapan individu termasuk dua wanita ditahan sebaik memasuki Kelantan melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang tanpa dokumen perjalanan sah.

“Mereka menaiki dua kereta dan ditahan anggota Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) jam 5.30 petang ketika dalam perjalanan dari Sungai Golok, Thailand ke Kelantan.

"Siasatan mendapati mereka masuk ke pekan Sungai Golok melalui laluan VIP selepas pemandu mengangkat tangan kepada pegawai bertugas di ICQS sebagai isyarat untuk melintas,” katanya, lapor Harian Metro.

Menurut beliau, hasil siasatan juga mendapati kaedah itu sering digunakan pegawai kerajaan dari dalam dan luar negeri ini kononnya bagi tujuan santai, menjamu selera, atau urusan perniagaan di Thailand.

“Ada yang menggunakan kenderaan sedan dan kereta mewah melalui laluan khas VIP. Malah ada yang menyamar sebagai pegawai penguat kuasa untuk mendapat pelepasan tanpa menyerahkan dokumen perjalanan,” ujarnya.

Mohd Yusoff menegaskan, pihak polis tidak akan berkompromi terhadap individu yang melanggar undang-undang dan tindakan tegas akan diambil mengikut Akta Imigresen.

Beliau turut mengingatkan anggota keselamatan yang bertugas di sempadan, khususnya di kompleks ICQS, agar menjalankan tanggungjawab dengan tegas dan berintegriti serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang cuba melanggar undang-undang.